"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 9 Februari 2016

PERATURAN ADAT MENGANGKAT SEMBAH NEGERI PAHANG

Adat mengangkat sembah kepada raja adalah suatu adat yang wajib dilakukan sebagai tanda hormat dan adab. Pada zaman dahulu, mengangkat sembah dilakukan dengan duduk bersila dan raja bersemayam di tempat yang tertinggi dari tempat duduk orang yang datang mengadap itu. Tetapi cara ini telah berubah dan dipinda dengan dibolehkan rakyat mengangkat sembah sama ada berdiri atau duduk menurut keadaan tempat di mana raja itu bersemayam dan di mana rakyat itu dibenarkan oleh raja mengambil tempat duduknya.

Seseorang rakyat dikehendaki mengangkat sembah sekurang-kurangnya tiga kali dalam masa mengadap raja. Yang pertama, pada permulaan mengadap. Yang kedua, ketika hendak mendatang sembah atau menjunjung titah raja. Yang ketiga, apabila selesai mengadap dan hendak beredar dari majlis penghadapan.

Menurut amalan zaman terdahulu, peraturan mengangkat sembah di Negeri Pahang hanya dibuat kepada:
1. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, Raja Pemerintah
2. Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota, Bakal Raja
3. Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara, Ketua Istiadat
4. Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong, Penolong Ketua Istiadat

Di dalam mana-mana majlis sama ada di istana atau di Balairong Seri, atau di tempat-tempat yang lain yang ada hadir Tuanku Sultan, maka hendaklah mengangkat sembah kepada Baginda sahaja dan tidak boleh diangkat sembah kepada yang lain.

Mana-mana majlis yang tidak dihadiri oleh Tuanku Sultan, maka mengangkat sembah dilakukan kepada mana-mana kerabat diraja yang terkanan sekali yang hadir, yang dibolehkan oleh adat mengangkat sembah. Hanya seorang raja atau kerabat diraja yang diangkat sembah dalam mana-mana majlis.

Apabila ada hadir dua orang raja atau sultan dalam mana-mana majlis, maka menurut adat istiadat Negeri Pahang, mengangkat sembah itu hendaklah dihadapkan kepada raja atau sultan yang memerintah negeri itu sahaja dan tidak boleh mengangkat sembah kepada dua raja pada satu majlis.

Kaedah dan Cara Mengangkat Sembah

Sepuluh Jari tangan disusun rapat, kemudian diangkat ke dahi dengan pangkal dua ibu jari tangan jejak di antara dua kening. Cara ini khas untuk Baginda Sultan; Raja Pemerintah sahaja.

Jika yang diangkat sembah itu Tengku Mahkota; Bakal Raja, maka pangkal dua ibu jari hendaklah terkebawah sedikit dari antara dua kening.

Kepada Tengku Arif Bendahara atau Tengku Arif Temenggong, maka pangkal dua ibu jari hendaklah jejak pada paras mata.

Walau bagaimanapun, sejak zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, peraturan adat mengangkat sembah hanya kepada Tuanku Sultan; Raja Pemerintah dan Tengku Mahkota; Bakal Raja sahaja.
Peraturan adat mengangkat sembah kepada Tengku Arif Bendahara dan Tengku Arif Temenggong telah dimansuhkan.

Ahad, 10 Januari 2016

ISTIADAT MENJUNJUNG DULI


Istiadat Menjunjung Duli dilangsungkan di hadapan singgahsana di Balairong Seri di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan bersemayam menerima kehormatan tersebut, sebagai kemuncak daripada tanda ikrar taat setia seseorang hamba rakyat yang dikurniakan gelaran. Istiadat ini biasanya dilakukan di dalam Majlis Penghadapan Hari Ulangtahun Keputeraan Baginda Sultan.

Setelah seorang rakyat dimasyhurkan dan ditauliahkan menjadi seorang Orang Besar dengan gelaran tertentu di dalam istiadat di dalam Balairong Seri, maka Orang Besar itu diseru oleh Bentara Kiri dengan titah Sultan supaya tampil ke hadapan menjunjung duli.

Orang yang baharu dimasyhurkan gelarannya itu yang sedang berdiri di hadapan singgahsana, dengan diapit oleh 2 Orang Besar lain akan melakukan Istiadat Menjunjung Duli setelah 2 orang pengapitnya itu undur dan mengambil tempatnya masing-masing dalam majlis itu.

Cara-Cara Menjunjung Duli

Orang Besar itu memulakan istiadat itu dengan duduk di atas dua pergelangan kakinya dan mengangkat sembah 2 kali, kemudian bangun berdiri tegak.

Kemudian melangkah ke kanan 3 langkah dan duduk serta mengangkat sembah 2 kali, kemudian bangun.

Kemudian melangkah ke kiri 3 langkah dan duduk, serta mengangkat sembah 2 kali.

Kemudian melangkah ke kanan pula 3 langkah, kira-kira bersetentang dangan singgahsana dan duduk, serta mengangkat sembah sekali. Kemudian bangun naik ke atas pentas singgahsana di tingkat yang keempat, terus mencium kadam (tangan) Sultan dengan penuh hormat dan takzim serta merendahkan diri, kemudian berdiri tegak dan mengangkat sembah sekali.

Kemudian turun setingkat demi setingkat, melangkah ke belakang tiga langkah dan duduk mengangkat sembah sekali, kemudian bangun.

Undur ke kiri 3 langkah dan duduk mengangkat sembah 2 kali, kemudian bangun.

Undur ke kanan 3 langkah dan duduk mengangkat sembah 2 kali, kemudian bangun.

Kemudian undur ke kiri hingga sampai ke tempat asal permulaan dan duduk mengangkat sembah 2 kali.

Kemudian bangun mengangkat sembah sekali dan undur ke belakang 3 langkah dan mengangkat sembah sekali. Kemudian terus mengambil tempat duduknya dan sebelum duduk hendaklah mengangkat sembah sekali lagi sebagai yang terakhir daripada istiadat itu.

Ahad, 13 Disember 2015

J.P. RODGER AJAR TENGKU MAHMUD MEMERINTAH NEGERI

J.P. Rodger datang ke Pahang sebagai Residen British pertama, dalam tahun 1884. Beliau disediakan sebuah rumah kediaman yang berdekatan dengan istana Sultan Ahmad di Pekan.

Kebetulan pada masa itu, Sultan Ahmad sedang mempersiapkan putera sulung baginda sebagai Bakal Sultan. Kehadiran J.P. Rodger ibarat bulan jatuh ke riba. Rodger telah diminta oleh Sultan Ahmad supaya dapat mengajar putera baginda itu tentang cara-cara menjalankan pentadbiran negeri. Menurut ceritanya, Rodger telah dibayar elaun khas sepanjang menjalankan tugas tidak rasmi itu.

Tunjuk ajar yang diterima oleh Tengku Mahmud yang baru berusia 16 tahun ketika itu, benar-benar memberi faedah yang besar kepada Sultan Ahmad. Apabila baginda melantik Tengku Mahmud menjadi Pemangku Raja dalam tahun 1888, Tengku Mahmud telah dapat mentadbir dengan baik dan mendapat keyakinan penuh daripada Residen dan pembesar-pembesar negeri.

Menjelang tahun 1900, Tengku Besar Mahmud menjalankan pentadbiran negeri sepenuhnya, kerana Sultan Ahmad sering uzur dan perlu berehat di istana.

Sabtu, 12 Disember 2015

PERKAHWINAN TENGKU MAHMUD DAN TENGKU MARIAM DAMAIKAN PAHANG – JOHOR

Perang Saudara Pahang yang melibatkan 2 orang putera Bendahara Tun Ali pada awal tahun 1856 telah merenggangkan perhubungan di antara negeri Pahang dan Johor.

Ia berpunca dari tindakan Sultan Abu Bakar Johor yang telah menyebelahi Tun Mutahir, Bendahara Pahang yang ditentang oleh Wan Ahmad. Sultan Abu Bakar mempunyai alasan yang kuat untuk membantu kerana baginda merupakan menantu Bendahara Tun Mutahir.

Apabila Wan Ahmad dapat mengalahkan kekandanya dan menjadi Bendahara Pahang dalam tahun 1863, perhubungan Baginda dengan Sultan Abu Bakar Johor semaikin tegang.

Bagaimanapun, perkahwinan putera sulung baginda, Tengku Besar Mahmud dengan puteri sulung Sultan Abu Bakar, Tengku Mariam yang berlangsung di Istana Johor pada 14 September 1897, telah dapat merapatkan kembali perhubungan di antara kedua-dua negeri tersebut.

Menurut ceritanya, Sultan Ahmad sering tinggal dan bermalam di Istana Johor sewaktu berurusan dengan Frederick Weld, Gabenor Negeri-Negeri Selat di Singapura atau sewaktu beralih angin.

Demikian juga Sultan Ibrahim, putera Sultan Abu Bakar. Baginda sering melawat Sultan Ahmad di Pekan, sekiranya ada masa kelapangan.

BENDAHARA WAN ALI DIGELAR MARHUM LAMIR

Selepas Wan Ahmad diputerakan dalam tahun 1836, Bendahara Sriwa Raja Wan Ali meninggalkan Tiang Bendera (Pulau Maulana) dan berpindah ke satu tempat yang terletak di Pahang Tua, Pekan, yang bernama Lamir.

Baginda bersemayam di situ sehinggalah mangkat dalam tahun 1857 dan disemadikan bersebelahan makam ayahanda baginda, Bendahara Tun Koris di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang. Disebabkan baginda mangkat sewaktu berada di Lamir, baginda digelar ‘Marhum Lamir’.

Lamir yang ada pada hari ini merupakan salah sebuah kampung yang terbesar di dalam mukim Pahang Tua, dalam daerah Pekan.

Ahad, 6 Disember 2015

SULTAN ABU BAKAR MENYAMAR DI BANDAR PEKAN PADA WAKTU MALAM

Setelah ditabalkan sebagai Sultan Pahang pada 28 Mei 1933, Sultan Abu Bakar telah melakukan banyak perubahan.

Salah satu daripadanya, Baginda suka menyamar sebagai orang biasa pada waktu malam, untuk memerhatikan hal keadaan rakyat jelata, terutama sekali orang-orang muda yang selalu berkeliaran pada waktu malam di bandar Pekan.

Penyamaran yang dilakukan oleh Sultan Abu Bakar telah dapat membanteras banyak kejadian buruk yang dilakukan oleh pemuda-pemudi di Bandar Diraja Pekan pada masa itu.