"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 9 Februari 2016

PERATURAN ADAT MENGANGKAT SEMBAH NEGERI PAHANG

Adat mengangkat sembah kepada raja adalah suatu adat yang wajib dilakukan sebagai tanda hormat dan adab. Pada zaman dahulu, mengangkat sembah dilakukan dengan duduk bersila dan raja bersemayam di tempat yang tertinggi dari tempat duduk orang yang datang mengadap itu. Tetapi cara ini telah berubah dan dipinda dengan dibolehkan rakyat mengangkat sembah sama ada berdiri atau duduk menurut keadaan tempat di mana raja itu bersemayam dan di mana rakyat itu dibenarkan oleh raja mengambil tempat duduknya.

Seseorang rakyat dikehendaki mengangkat sembah sekurang-kurangnya tiga kali dalam masa mengadap raja. Yang pertama, pada permulaan mengadap. Yang kedua, ketika hendak mendatang sembah atau menjunjung titah raja. Yang ketiga, apabila selesai mengadap dan hendak beredar dari majlis penghadapan.

Menurut amalan zaman terdahulu, peraturan mengangkat sembah di Negeri Pahang hanya dibuat kepada:
1. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, Raja Pemerintah
2. Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota, Bakal Raja
3. Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara, Ketua Istiadat
4. Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong, Penolong Ketua Istiadat

Di dalam mana-mana majlis sama ada di istana atau di Balairong Seri, atau di tempat-tempat yang lain yang ada hadir Tuanku Sultan, maka hendaklah mengangkat sembah kepada Baginda sahaja dan tidak boleh diangkat sembah kepada yang lain.

Mana-mana majlis yang tidak dihadiri oleh Tuanku Sultan, maka mengangkat sembah dilakukan kepada mana-mana kerabat diraja yang terkanan sekali yang hadir, yang dibolehkan oleh adat mengangkat sembah. Hanya seorang raja atau kerabat diraja yang diangkat sembah dalam mana-mana majlis.

Apabila ada hadir dua orang raja atau sultan dalam mana-mana majlis, maka menurut adat istiadat Negeri Pahang, mengangkat sembah itu hendaklah dihadapkan kepada raja atau sultan yang memerintah negeri itu sahaja dan tidak boleh mengangkat sembah kepada dua raja pada satu majlis.

Kaedah dan Cara Mengangkat Sembah

Sepuluh Jari tangan disusun rapat, kemudian diangkat ke dahi dengan pangkal dua ibu jari tangan jejak di antara dua kening. Cara ini khas untuk Baginda Sultan; Raja Pemerintah sahaja.

Jika yang diangkat sembah itu Tengku Mahkota; Bakal Raja, maka pangkal dua ibu jari hendaklah terkebawah sedikit dari antara dua kening.

Kepada Tengku Arif Bendahara atau Tengku Arif Temenggong, maka pangkal dua ibu jari hendaklah jejak pada paras mata.

Walau bagaimanapun, sejak zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, peraturan adat mengangkat sembah hanya kepada Tuanku Sultan; Raja Pemerintah dan Tengku Mahkota; Bakal Raja sahaja.
Peraturan adat mengangkat sembah kepada Tengku Arif Bendahara dan Tengku Arif Temenggong telah dimansuhkan.