"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Jumaat, 2 Januari 2026

TENGKU MAHKOTA PAHANG BERANGKAT KE MAJLIS RESEPSI PACAL DIDIK KETUA MENTERI MELAKA

Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Resepsi Cik Laili Nur Laila binti Ab Rauf dan pasangannya, Encik Muhamad Faiz bin Juhari. Cik Laili Nur Laila merupakan pacal didik kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh.

Majlis Resepsi ini berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka pada 1 Januari 2026. Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku pada jam 12.05 tengahari disambut sendiri oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh dan isteri, Datin Sri Utama Datuk Wira Zuriyah binti Abd Aziz.

Majlis resepsi ini turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka; dan Yang Amat Berbahagia, Toh Puan Datuk Wira (Dr). Hajah Asmah binti Ab Rahman. Turut berangkat hadir ialah Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin, Kolonel (Kehormat) Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Hadir sama ialah Yang Amat Berbahagia Tun Datuk Seri Utama Dr. Haji Mohd Khalil bin Yaakob, Mantan Yang Dipertua Negeri Melaka ke-6. Turut hadir, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah binti Khamis; Menteri-Menteri Kabinet; serta pemimpin-pemimpin masyarakat.