"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Sabtu, 23 Julai 2022

TAPAK ASAL ISTANA AMPANG TINGGI

Istana Ampang Tinggi ialah istana Yamtuan Ulin, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-5 (1861 - 1869). Yamtuan Ulin juga dikenali dengan gelaran Yamtuan Imam. Istana Ampang Tinggi dibina di dalam tahum 1861, sebaik sahaja Yamtuan Imam ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, menggantikan kekandanya Yamtuan Radin.
 
Istana ini siap dibina pada tahun 1865. Tapak asal istana ini terletak di atas permatang yang menghala ke kawasan sawah padi yang luas, di Kampung Ampang Tinggi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Ia dinamakan Istana Ampang Tinggi, mengambil sempena  nama tempat di mana ia dibina. Ampang Tinggi terletak di pertengahan jalan di antara Tanjung Ipoh dan Kuala Pilah.
 

Bangunan istana ini diukir oleh beberapa tukang ukir Melayu. Ukiran ‘awan berarak’ terdapat pada dinding pemisah ruang serambi dengan ruang tengah, sepanjang 914 cm dan tinggi 305 cm. Ukiran-ukiran lain terdapat pada pintu, tingkap, tangga, bendul, tupai tupai, dinding bilik dan serambi.
 
Istana Ampang Tinggi siap dibina dan diduduki oleh Yamtuan Ulin pada tahun 1865. Kemudiannya, istana ini dihadiahkannya kepada puteri baginda yang bernama Tunku Cindai yang berkahwin dengan Tunku Muda Cik, putera kepada Yamtuan Radin (1824-1861). Setelah kemangkatan Yamtuan Ulin pada tahun 1869, Tunku Muda Cik dan isterinya mendiami istana ini.
 

Seterusnya istana ini menjadi milik puteri Tunku Muda Cik yang bernama Tunku Halijah. Tunku Halijah berkahwin dengan Tuanku Muhammad Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-7 (1898 hingga tahun 1937). Selepas kemangkatan Tunku Halijah pada tahun 1921, istana ini didiami oleh kaum keluarga Tunku Muda Cik.
 
Pada tahun 1953, Istana Ampang Tinggi yang semakin usang telah dirobohkan dan dibina semula di Seremban. Bangunan istana yang dipindahkan itu ialah komponen rumah ibu dan rumah tengah. Istana ini siap dibina semula pada tahun 1954 dan dijadikan Muzium Negeri oleh Jeneral Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British, pada masa itu.
 

Apabila Kompleks Budaya Negeri Sembilan siap pembinaannya, Istana Ampang Tinggi dipindahkan ke kompleks tersebut. Istana Ampang Tinggi merupakan istana Raja-raja Melayu yang dianggap tertua yang masih dikekalkan. Bangunan istana ini dijadikan sebagai tempat mempamerkan pelbagai khazanah budaya Melayu Negeri Sembilan dan merupakan sebahagian daripada Muzium Negeri Sembilan.