"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 24 Julai 2022

PERKAHWINAN TUNKU MUNAWIR DENGAN TUNKU DURAH DI ISTANA BAROH

Perkahwinan di antara Tunku Munawir ibni Tuanku Abdul Rahman dengan Tunku Duratun Nafisah Azibah binti Tunku Besar Burhanuddin berlangsung di Istana Baroh, Seri Menanti pada 1 Januari 1940. Ayahanda Tunku Durah, Tunku Besar Burhanuddin menikahkan pasangan diraja tersebut di hadapan kaum kerabat kedua-dua belah pihak.
 
Tunku Munawir yang ketika itu bergelar Tunku Laksamana Negeri Sembilan merupakan putera sulung Tuanku Abdul Rahman dan Tunku Ampuan Maharum binti Tunku Mambang. Manakala Tunku Durah merupakan puteri kelima Tunku Besar Burhanuddin ibni Almarhum Tuanku Antah. Bonda Tunku Durah ialah Che’ Puan Sharifah Alawiyah binti Sayyid Abdul Hamid.
 
Kedua-dua pasangan diraja ini berusia 18 tahun ketika itu. Pasangan diraja yang mempunyai hubungan pertalian kekeluargaan yang rapat ini dijodohkan atas pilihan keluarga masing-masing. Istiadat persandingan diraja ini berlangsung di dalam suasana yang sederhana tetapi meriah. Bonda kedua-dua pasangan pengantin diraja ini memulakan istiadat menepung tawar, diikuti oleh kedua-dua ayahanda pasangan pengantin diraja.
 
Selepas persandingan diraja tersebut, kedua pasangan pengantin diraja ini berpindah dan bersemayam di Istana Hinggap, Seremban. Kedua pasangan diraja ini dikurniakan dengan 6 orang putera dan puteri. Putera sulung, Tunku Muhriz menaiki tahta sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, pada 29 Disember 2008. Ia bagi menggantikan Almarhum Tuanku Ja’afar yang mangkat pada 27 Disember 2008.