"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Jumaat, 8 Julai 2022

PERKAHWINAN TENGKU ABU BAKAR DAN RAJA FATIMAH BERLANGSUNG SELAMA 40 HARI 40 MALAM

Dalam sejarah perkahwinan diraja, Perkahwinan Diraja Tengku Abu Bakar dengan Raja Fatimah yang berlangsung di Kuala Kangsar pada 23 Mei 1926 merupakan perkahwinan diraja yang paling meriah dan antara paling lama pernah diadakan, iaitu selama 40 hari 40 malam.
 
Atas kehendak Sultan Iskandar Shah, perkahwinan yang berlangsung di Istana Merchu itu telah diadakan secara besar-besaran kerana Raja Fatimah merupakan puteri sulung Baginda.
 
Menurut cerita orang-orang tua, pada hari yang bersejarah itu, seluruh keluarga kedua-dua belah pihak telah hadir. Sultan Pahang, Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah Shah dan kaum kerabat Baginda telah berangkat ke Bukit Chandan, Kuala Kangsar selama beberapa hari.
 
Bagaimanapun, Raja Fatimah dikatakan berasa sedih kerana Bonda Baginda, Tengku Nong Fatimah Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah yang telah mangkat di dalam tahun 1913, tidak sempat meraikan perkahwinan yang bersejarah itu. Perkahwinan kedua-dua putera dan puteri raja ini sangat bermakna kerana di antara Tengku Abu Bakar dan Raja Fatimah, bukanlah orang lain. Mereka merupakan sepupu, kerana bonda Raja Fatimah dengan ayahanda Tengku Abu Bakar merupakan adik beradik.
 
Sewaktu berlangsungnya Perkahwinan Diraja yang gilang gemilang itu, Tengku Abu Bakar berusia 22 tahun. Manakala Raja Fatimah pula berusia 16 tahun. Perkahwinan Baginda berdua telah dikurniakan dengan beberapa orang putera dan puteri. Salah seorang daripadanya ialah Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Sultan Pahang ke-5, yang bertahta dari 1975 sehingga 2019.