"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Khamis, 7 Julai 2022

BINTANG C.B.E. DATO’ UNDANG ABDULLAH TERSIMPAN DI KAMPUNG ULU JELEBU

Dato’ Mendika Menteri Akhirul Zaman Dato’ Abdullah bin Panglima Muda Lok merupakan Dato’ Undang Luak Jelebu ke-12. Beliau menjadi Undang Luak Jelebu, daripada tahun 1902 sehingga 1945. Dato’ Undang Abdullah adalah daripada Suku Biduanda, Waris Sarin.


Dato’ Undang Abdullah meninggal dunia pada tahun 1945. Beliau meninggalkan banyak harta pusaka, termasuk Bintang Commander of The Order of The English Empire (C.B.E.), yang dianugerahkan oleh King George V, pada tahun 1935. Bintang C.B.E, tersebut telah disampaikan oleh Sir Shenton Thomas, Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Diceritakan, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-8, Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad turut mencemar duli berangkat ke Kediaman Rasmi Dato’ Undang Abdullah, untuk menyaksikan penganurahan bintang tersebut.


Setelah Dato’ Undang Abdullah meninggal dunia, Bintang C.B.E. tersebut telah diwariskan kepada anak lelaki sulungnya, yang bernama Muhammmad Sharif. Setelah anak lelaki sulungnya itu meninggal dunia dalam sekitar tahun 2001, bintang tersebut disimpan oleh menantu dan waris-warisnya yang tinggal di Kampung Ulu Jelebu, Kuala Klawang, sehingga kini.