"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 12 Februari 2017

RUMAH REHAT PEKAN, TEMPAT MENGINAP TETAMU DIRAJA

Rumah Rehat Pekan atau lebih dikenali dengan nama ‘Chief’s Rest House’ telah dibina dalam tahun 1929, iaitu di dalam zaman pemerintahan Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah (1917-1932).

Rumah rehat ini terletak tidak jauh dari Istana Seri Terentang, istana tempat bersemayam Sultan Abdullah pada masa itu dan berhampiran dengan Istana Mangga Tunggal, iaitu istana tempat bersemayam Tengku Mahkota Abu Bakar.
Menurut sejarah, rumah rehat ini sangat terkenal di Pekan pada masa itu. Ia menjadi tempat penginapan kerabat-kerabat diraja yang menghadiri majlis-majlis rasmi di istana. Selain itu, Pegawai-Pegawai British yang berurusan dengan Sultan Abdullah juga sering menginap di rumah rehat ini.

Rumah Rehat Pekan terus memainkan peranan penting pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah (1932-1974). Menurut cerita, sewaktu upacara pertabalan baginda berlangsung pada 28 Mei 1933, ramai tetamu terhormat menginap di rumah rehat yang bersejarah ini.