"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 12 Februari 2017

LALUAN UTAMA KE ISTANA SULTAN AHMAD


Laluan utama ke istana Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah ialah melalui alur Sungai Pahang yang mengalir masuk ke Pekan.

Setelah ditabalkan sebagai Bendahara Sriwa Raja dalam tahun 1863, Bendahara Wan Ahmad telah berpindah ke Pekan dan meninggalkan istana baginda yang terletak di Pulau Maulana.

Atas nasihat Orang-Orang Besar, baginda telah mendirikan sebuah istana yang terletak di tebing Sungai Pahang, di mana terdapat satu alur sungai. Istana tersebut dinamakan Istana Pantai, kerana ia terletak berhampiran dengan sungai. Di istana inilah baginda mangkat pada 4 Mei 1914.
Menurut cerita orang-orang tua di Pekan, pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad, alur Sungai Pahang ini disebut ‘Tambatan Raja’, kerana bahtera kenaikan baginda ditambat di tebing sungai ini.

Di sini juga jenazah Sultan Ahmad diturunkan sewaktu hendak dimakamkan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang yang terletak di tebing kanan Sungai Pahang.