"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Khamis, 14 Julai 2011

ADAT ISTIADAT DIRAJA PAHANG

Adat Istiadat Diraja Pahang yang diguna pakai ialah Adat Bendahara, iaitu bermula dari tahun 1885 dalam masa pemerintahan Seri Paduka Baginda Almarhum Sultan Ahmad.

Pengertian Adat Istiadat
Adat ialah kebiasaan turun temurun yang dipakai dan diikuti atau dilakukan berulangkali, beberapa lama oleh sesuatu puak atau kaum sehingga dijadikan kebiasaan, seperti adat perkahwinan, berkhatan dan lain-lain.

Manakala istiadat pula ialah sesuatu kebiasaan yang diambil dan dipilih daripada adat resam, diatur dan disusun sehingga tercipta menjadi isitadat yang dikhaskan untuk upacara-upacara diraja.
 

Adat Istiadat Negeri Pahang adalah hak dan kepunyaan raja, dan raja berkuasa menitahkan sama ada adat istiadat itu hendak dipakai dan dijalankan dengan sepenuhnya atau tidak, pada mana-mana majlis istiadat yang diadakan untuk menzahirkan kebesaran dan kemuliaan raja.

Adat istiadat itu dijaga dan dikawal kesempurnaannya oleh Bendahara, yang diketahui daripada sejak dahulu menjadi ketua adat istiadat dan jua ketua kepada orang besar yang dikurniakan gelaran oleh raja, menurut adat istiadat.