"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 7 April 2015

POTRET RASMI TERAKHIR SULTAN ABDULLAH AL-MU’TASSIM BILLAH


Persidangan Raja-Raja Negeri Melayu Bersekutu (Durbar) ke-7, berlangsung di Istana Kuning, Pekan Lama pada 28 April 1932. Pada waktu itu, kesihatan Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah agak membimbangkan, kerana menghidap kencing manis.

Sebaik sahaja persidangan itu selesai, seperti biasa bergambar beramai-ramai sebagai kenangan diadakan di hadapan Balai Rong Seri  Istana Kuning.

Yamtuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah duduk di paling kanan. Di sebelah kiri baginda ialah Sultan Abdullah, Sultan Perak; Sultan Alang Iskandar, yang juga adinda ipar Sultan Abdullah, dan Sultan Selangor; Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah.

Tidak lama selepas berakhirnya persidangan Durbar  tersebut, iaitu pada hari Rabu 22 Jun 1932; jam 8.25 malam, Sultan Abdullah telah mangkat di Istana Seri Terentang.

Isnin, 6 April 2015

TAPAK ISTANA PANTAI DIJADIKAN MAKAM DIRAJA PEKAN


Makam Diraja Pekan yang ada pada masa ini terletak di belakang Masjid Abdullah. Asalnya Makam Diraja ini ialah tapak Istana Pantai, istana tempat bersemayam Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah.

Istana Pantai merupakan istana yang paling digemari oleh Sultan Ahmad, kerana kedudukannya yang berdekatan dengan sungai dan dikelilingi pemandangan yang indah. Di istana ini juga beberapa orang anakanda baginda telah diputera dan diputerikan.


Di sini juga baginda sering menerima menghadap Residen serta Pegawai Tinggi British di negeri Pahang. Dan di istana ini jugalah Almarhum mangkat pada hari Sabtu, 9 Mei 1914 setelah gering kerana sakit tua.

Satu peristiwa bersejarah telah berlangsung di istana ini dalam tahun 1913, iaitu perkahwinan puteri bongsu baginda, Tengku Mariam dengan Tengku Muda Sulaiman iaitu putera Sultan Terengganu.

Ahad, 5 April 2015

AL-FATIHAH

TAN SRI DR. IR. HAJI JAMALUDDIN BIN DATO' MOHD JARJIS
(25 Mei 1951 - 04 April 2015)

Antara kegemaran Allahyarham, bermain polo

Foto Allahyarham di dalam tahun 1975 / 1976

PUTERA PUTERI TENGKU MUDA ALI IBNI SULTAN AHMAD AL-MU’AZZAM SHAH


Tengku Muda Ali merupakan putera kedua Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah. Diputerakan di Pekan pada 17 September 1872. Almarhum Tengku Muda Ali telah mangkat di Istana Pekan pada 19 Julai 1915, ketika berusia 43 tahun.

Almarhum meninggalkan 4 orang putera dan 7 orang puteri. Putera Almarhum ialah Tengku Ibrahim. Tengku Jaafar, Tengku Osman dan Tengku Mansor. Manakala puteri Almarhum ialah Tengku Safiah, Tengku Halimah, Tengku Maimunah, Tengku Aminah, Tengku Fatimah. Tengku Khadijah, Tengku Azizah.

Tengku Panglima Besar Haji Jaafar mengiringi Sultan Abu Bakar

Putera kedua Almarhum, Tengku Jaafar bergelar Tengku Panglima Besar Pahang (1931-1987). Puteri keenam Almarhum, Tengku Khadijah pula dijodohkan dengan Tengku Arif Bendahara Mahmud ibni Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah dan bergelar Tengku Puan Muda Pahang yang pertama.

Manakala cucunda Almarhum, Tengku Korish ibni Almarhum Tengku Panglima Besar Haji Jaafar merupakan Dato’ Setia Pahlawan, Orang Besar Berlapan Pahang.

TENGKU ALI, PUTERA HARAPAN SULTAN AHMAD AL-MU’AZZAM SHAH


Sultan Pahang pertama, Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah mempunyai seramai 12 orang putera dan puteri hasil dari 5 perkahwinan baginda. Di antara putera-putera baginda yang tua, Tengku Ali merupakan putera kesayangan yang menjadi harapan Sultan Ahmad.

Menurut cerita orang-orang tua di Pekan, sejak dari kecil lagi Sultan Ahmad sudah melihat tanda-tanda keistimewaan yang terdapat pada diri putera kesayangan baginda itu. Selain tingkah laku dan budi bahasa yang baik, Tengku Ali sangat taat dan memahami kehendak ayahandanya itu.

Ada cerita yang mengatakan Tengku Ali menjadi pilihan Sultan Ahmad sebagai pangganti, tetapi tidak dapat melakukannya kerana Tengku Ali bukanlah putera yang sulung. Sebelum Almarhum Sultan Ahmad mangkat dalam tahun 1914, baginda telah melantik Tengku Ali sebagai Tengku Muda Pahang, iaitu pewaris kedua Sultan Pahang.


Tengku Muda Ali telah mangkat pada 19 Julai 1915, di Istana Pantai, Pekan Lama sewaktu berusia 43 tahun. Jenazah Almarhum telah disemadikan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang.

Sabtu, 4 April 2015

MAT KILAU KIASKAN PERJUANGAN ORANG MELAYU SEPERTI BUAH MANGGIS


Tidak lama selepas kemunculannya di hadapan para jemaah yang penuh sesak di Masjid Pulau Tawar, Jerantut pada 27 Disember 1969, Mat Kilau telah menyampaikan beberapa nasihat penting kepada orang-orang Melayu di Kampung Kedondong, Pulau Tawar.

Salah satu nasihat beliau yang sangat mendalam maknanya dan meninggalkan kesan ialah kiasannya tentang sebiji buah manggis. Menurut Mat Kilau, sebab orang Melayu kalah kepada Inggeris dalam tahun 1891 ialah kerana mereka tidak jujur dan mengkhianati perjuangan bangsa sendiri, kerana tamakkan wang dan ganjaran.

Kata Mat Kilau lagi, Residen British di Pahang; Hugh Clifford sendiri menganggap kebanyakan orang-orang Melayu di Pahang pada zaman itu mudah dipengaruhi oleh kebendaan dan lekas berubah hati apabila mendapat sesuatu hadiah.

Mat Kilau ibaratkan perjuangan orang-orang Melayu seperti sebiji buah manggis, di mana orang mudah dapat meneka berapa ulas isinya dengan melihat ruas yang terbentuk di bawah kulitnya. Maksud Mat Kilau, kebanyakan orang Melayu tidak kuat menyimpan rahsia sehinggakan segala rancangan yang dibuat akan diketahui oleh pihak lawan dan akhirnya segala usaha akan menemui kegagalan.

Mat Kilau meninggal dunia beberapa bulan selepas kemunculan dirinya.