"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Sabtu, 4 April 2015

MAT KILAU KIASKAN PERJUANGAN ORANG MELAYU SEPERTI BUAH MANGGIS


Tidak lama selepas kemunculannya di hadapan para jemaah yang penuh sesak di Masjid Pulau Tawar, Jerantut pada 27 Disember 1969, Mat Kilau telah menyampaikan beberapa nasihat penting kepada orang-orang Melayu di Kampung Kedondong, Pulau Tawar.

Salah satu nasihat beliau yang sangat mendalam maknanya dan meninggalkan kesan ialah kiasannya tentang sebiji buah manggis. Menurut Mat Kilau, sebab orang Melayu kalah kepada Inggeris dalam tahun 1891 ialah kerana mereka tidak jujur dan mengkhianati perjuangan bangsa sendiri, kerana tamakkan wang dan ganjaran.

Kata Mat Kilau lagi, Residen British di Pahang; Hugh Clifford sendiri menganggap kebanyakan orang-orang Melayu di Pahang pada zaman itu mudah dipengaruhi oleh kebendaan dan lekas berubah hati apabila mendapat sesuatu hadiah.

Mat Kilau ibaratkan perjuangan orang-orang Melayu seperti sebiji buah manggis, di mana orang mudah dapat meneka berapa ulas isinya dengan melihat ruas yang terbentuk di bawah kulitnya. Maksud Mat Kilau, kebanyakan orang Melayu tidak kuat menyimpan rahsia sehinggakan segala rancangan yang dibuat akan diketahui oleh pihak lawan dan akhirnya segala usaha akan menemui kegagalan.

Mat Kilau meninggal dunia beberapa bulan selepas kemunculan dirinya.