"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Isnin, 6 April 2015

TAPAK ISTANA PANTAI DIJADIKAN MAKAM DIRAJA PEKAN


Makam Diraja Pekan yang ada pada masa ini terletak di belakang Masjid Abdullah. Asalnya Makam Diraja ini ialah tapak Istana Pantai, istana tempat bersemayam Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah.

Istana Pantai merupakan istana yang paling digemari oleh Sultan Ahmad, kerana kedudukannya yang berdekatan dengan sungai dan dikelilingi pemandangan yang indah. Di istana ini juga beberapa orang anakanda baginda telah diputera dan diputerikan.


Di sini juga baginda sering menerima menghadap Residen serta Pegawai Tinggi British di negeri Pahang. Dan di istana ini jugalah Almarhum mangkat pada hari Sabtu, 9 Mei 1914 setelah gering kerana sakit tua.

Satu peristiwa bersejarah telah berlangsung di istana ini dalam tahun 1913, iaitu perkahwinan puteri bongsu baginda, Tengku Mariam dengan Tengku Muda Sulaiman iaitu putera Sultan Terengganu.