"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 4 Mac 2018

AL-FATIHAH


بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa Orang Besar Berlapan Pahang, Yang Hormat Dato’ Setia Pahlawan, Yang Mulia Tengku Dato’ Sri Haji Iskandar Abu Bakar bin Tengku Ali, SSAP., DSAP., DIMP., SAP., AMN., PJK., telah kembali ke Rahmatullah pada jam 11.15 pagi, 04 Mac 2018, di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Jenazah Almarhum dibawa pulang ke kediamannya di No. 66, Aiman 2, Jalan Istana Permai, Pekan dan dikebumikan bersebelahan Makam Diraja Pekan selepas solat Asar.

Semuga Roh Almarhum dicucuri Rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

إنّا لله وإنّا إليهِ رَاجعُون
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهِ مِنْ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ
وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ




SULTAN ABDULLAH AL-MU’TASSIM BILLAH BERSEMAYAM DI ISTANA SERI TERENTANG

Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah merupakan satu-satunya Sultan Pahang yang tidak membina istana rasmi, sepanjang baginda menjadi Sultan Pahang, dari tahun 1917 hingga 1932.

Menurut cerita, apabila baginda menaiki tahta pada 19 Jun 1917, Sultan Abdullah telah bersemayam di Istana Seri Terentang; iaitu bekas istana Sultan Mahmud yang dibina dalam tahun 1905. Selain dari Istana Seri Terentang, Sultan Abdullah juga sering bersemayam di Istana Pantai; yang merupakan bekas istana Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah.
Banyak peristiwa bersejarah yang berlangsung di Istana Seri Terentang sepanjang pemerintahan Sultan Abdullah. Antaranya ialah istiadat perkahwinan putera dan puteri baginda.

Di istana ini juga adinda baginda, Tengku Besar Sulaiman dilantik sebagai Tengku Besar Pahang, pada 14 Ogos 1920. Dan di Istana Seri Terentang ini juga Sultan Abdullah jatuh gering dan mangkat pada hari Rabu, 22 Jun 1932.
Walaubagaimanapun, Istana Seri Terentang telah dirobohkan sekitar tahun 1940-an, iaitu di dalam zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.

Sabtu, 3 Mac 2018

SULTAN AHMAD SHAH DAN ALMARHUM SULTAN ISKANDAR JOHOR BERSAUDARA SEJAK 3 GENERASI

Sultan Haji Ahmad Shah Pahang dan Almarhum Sultan Iskandar Johor telah bersaudara sejak 3 generasi. Ia bermula sejak perkahwinan moyang Sultan Iskandar iaitu Sultan Abu Bakar Johor dengan puteri Bendahara Tun Mutahir, moyang saudara Sultan Haji Ahmad Shah, di dalam tahun 1862.

Ikatan kekeluargaan tersebut diteruskan lagi apabila nenda saudara Sultan Haji Ahmad Shah iaitu Sultan Mahmud (Sultan Pahang II, 1914-1917) berkahwin dengan Tengku Mariam, nenda saudara Sultan Iskandar, di Istana Besar Johor Bahru, pada 14 September 1897.

Tali persaudaraan di antara kedua-dua buah negeri ini menjadi semakin rapat berikutan perkahwinan putera Sultan Haji Ahmad Shah, Tengku Mahkota Abdullah dengan puteri Sultan Iskandar, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, pada 6 Mac 1986.

Ahad, 18 Februari 2018

TENGKU ABDULLAH TOLAK JAWATAN SULTAN

Apabila Sultan Mahmud mangkat di Rumah Rehat Kuala Pahang pada 19 Jun 1917, Keluarga Diraja Pahang telah mengadakan mesyuarat dengan pembesar-pembesar istana, untuk membincangkan pengganti sultan yang baharu.

Disebabkan Sultan Mahmud tidak meninggalkan zuriat dan mangkat secara mengejut tanpa sempat melantik Raja Muda, adinda baginda, Tengku Abdullah telah dicadangkan sebagai pengganti. Cadangan tersebut telah diterima oleh semua pihak, atas alasan Tengku Abdullah merupakan putera Almarhum Sultan Ahmad yang paling tua masih hidup pada masa itu.

Tengku Abdullah yang dimaklumkan, telah menolak tawaran dijadikan Sultan dengan alasan tidak bersedia dan tidak cukup berpengalaman. Tengku Abdullah sebaliknya mencadangkan jawatan tersebut diberikan kepada waris yang lebih layak. Bagaimanapun, setelah kerajaan Inggeris sendiri bersetuju dengan lantikan itu, Tengku Abdullah akhirnya menerima untuk dilantik menjadi Sultan.

Tengku Abdullah telah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang oleh Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang, di hadapan jenazah Almarhum Sultan Mahmud di dalam Balai Penghadapan, Istana Seri Terentang pada 20 Jun 1917.

Setelah selesai upacara permasyhuran, jenazah Sultan Mahmud diletakkan di atas Pengusungan Diraja dan dibawa dengan sampan diraja, untuk disemadikan di Makam Diraja Kampung Marhum yang terletak di tebing kanan Sungai Pahang.

Sabtu, 17 Februari 2018

PERTALIAN KELUARGA SULTAN MAHMUD DENGAN SULTAN IBRAHIM JOHOR

Sultan Pahang ke-2, Sultan Mahmud ibni Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah ialah kekanda ipar kepada Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur ibni Sultan Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah, Sultan Johor.
Pertalian keluarga ini terjalin berikutan perkahwinan Sultan Mahmud dengan puteri sulung Sultan Abu Bakar iaitu Tunku Mariam, kekanda kepada Sultan Ibrahim. Perkahwinan tersebut berlangsung di Istana Johor pada 14 September 1897. Ketika itu Sultan Mahmud bergelar Tengku Besar Pahang. Sewaktu berkahwin, Tengku Besar Mahmud berusia 27 tahun dan Tunku Mariam berusia 26 tahun.
Walaubagaimanapun, perkahwinan yang bahagia itu tidak dikurniakan zuriat, sehinggalah Sultan Mahmud mangkat di Rumah Rehat Kuala Pahang pada 19 Jun 1917 dan disemadikan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang. Sultan Ibrahim tiba dari Johor Bahru di saat akhir dan sempat menatap wajah kekanda ipar baginda itu sebelum jenazah Sultan Mahmud disemadikan.

Menurut cerita, Sultan Mahmud dan Sultan Ibrahim mempunyai hubungan yang rapat dan saling kunjung-mengunjungi di antara mereka.

BATU NISAN PERMATANG PASIR

Kedatangan Islam di Pahang dibuktikan dengan penemuan sebuah batu nisan lama di Teluk Che Munah, Kampung Permatang Pasir, Pulau Tambun, Pekan, pada Jun 1953. Batu nisan itu berukuran 30cm panjang, 21cm lebar dan 73.5cm tinggi.

Ia menunjukkan kemungkinan pertapakan agama Islam telah berlaku lama di Pahang iaitu hampir 300 tahun sebelum kewujudan Kerajaan Islam di Melaka. Batu nisan tersebut dihiasi dengan ayat Al-Quran dan syair Arab dengan menggunakan seni khat halus. Terdapat juga tarikh yang menunjukkan bahawa si mati meninggal pada subuh hari Rabu, 14 Rabi’ul Awal tahun 419 Hijrah (1028M).

Hal ini bermakna batu nisan tersebut adalah lebih awal daripada kewujudan Batu Bersurat Terengganu, yang bertarikh 1303 Masihi.

Ahad, 31 Disember 2017

ASAL USUL NAMA LAMIR

Lamir ini adalah sebuah kampung yang terbesar dalam mukim Pahang Tua, di dalam daerah Pekan. Letaknya di kiri kanan Jalan Pekan-Kuantan, di tebing Sungai Pahang Tua. Kampung Lamir ini dikatakan mendapat namanya demikian dari pokok lamir, sejenis pokok yang kulitnya boleh dibuat tali. 

Selain dari kampung terbesar dalam mukim Pahang Tua, ia adalah juga sebuah kampung yang bersejarah. Ini ialah kerana ia pernah menjadi tempat tinggal Bendahara Sewa Raja Tun Ali sehingga akhir hayatnya dalam tahun 1857.
Bila sebenarnya Bendahara Sewa Raja Tun Ali meninggalkan Pulau Maulana dan berpindah ke Lamir tidak diketahui. Tetapi tentu sekali lepas lahirnya Tun (Sultan) Ahmad di Tiang Bendera (Pulau Maulana), pada 23.5.1836.
W.Linehan di dalam Sejarah Pahang, JMBRAS, Vol.XIV, Pt. 11, May 1936 menulis berkenaan dengan perkara ini seperti berikut :-
"Bendahara Sewa Raja Ali of Pahang died in 1857. Long before his death, he had retired from active participation in the government of the country, and removed his residence to Lamir on the the river Pahang Tua where he spent his declining years."

Tiada berapa lama selepas Bendahara Sewa Raja Tun Ali mangkat, maka berlakulah pergaduhan yang dikenali sebagai ‘Perang Saudara 1857 – 1863’. Di dalam peperangan itu Tun Ahmad berjaya menewaskan kekandanya Tun Mutahir pada 10 Jun 1863. Dengan kemenangannya itu Tun Ahmad dilantik sebagai Bendahara Sewa Raja. Dia dinasihatkan supaya tinggal di sebelah kanan hilir Sungai Pahang. Sebab itu Bendahara Sewa Raja Tun Ahmad memiliki kuala Sungai Parit, yang dikenali sebagai Pekan Lama.
Dengan tindakan Bendahara Sewa Raja Tun Ahmad (Sultan Ahmad) ini, bukan sahaja Pulau Maulana bahkan Lamir tidak lagi menjadi tempat tinggal Bendahara Pahang. Sebagai mengingatkan Lamir sebagai tempat tinggal Bendahara Tun Ali, maka Almarhum yang disemadikan di Makam Diraja Kampung Marhum dikenali sebagai Marhum Lamir.
Sungguhpun Lamir tidak lagi menjadi tempat tinggal Bendahara Pahang, tetapi ia terus maju dan menjadi sebuah kampung yang terkenal hingga sekarang. Tambahan pula ia jadi muka sebatang jalan kampung, iaitu jalan Pahang Tua-Langgar.