Lamir
ini adalah sebuah kampung yang terbesar dalam mukim Pahang Tua, di dalam daerah Pekan.
Letaknya di kiri kanan Jalan Pekan-Kuantan, di tebing Sungai Pahang Tua. Kampung
Lamir ini dikatakan mendapat namanya demikian dari pokok lamir, sejenis pokok
yang kulitnya boleh dibuat tali.
Selain
dari kampung terbesar dalam mukim Pahang Tua, ia adalah juga sebuah kampung
yang bersejarah. Ini ialah kerana ia pernah menjadi tempat tinggal Bendahara
Sewa Raja Tun Ali sehingga akhir hayatnya dalam tahun 1857.
Bila
sebenarnya Bendahara Sewa Raja Tun Ali meninggalkan Pulau Maulana dan berpindah
ke Lamir tidak diketahui. Tetapi tentu sekali lepas lahirnya Tun (Sultan) Ahmad di Tiang Bendera (Pulau Maulana), pada 23.5.1836.
W.Linehan
di dalam Sejarah Pahang, JMBRAS, Vol.XIV, Pt. 11, May 1936 menulis berkenaan
dengan perkara ini seperti berikut :-
"Bendahara
Sewa Raja Ali of Pahang died in 1857. Long before his death, he had retired
from active participation in the government of the country, and removed
his residence to Lamir on the the river Pahang Tua where he spent his
declining years."
Tiada
berapa lama selepas Bendahara Sewa Raja Tun Ali mangkat, maka berlakulah
pergaduhan yang dikenali sebagai ‘Perang Saudara 1857 – 1863’. Di dalam
peperangan itu Tun Ahmad berjaya menewaskan kekandanya Tun Mutahir pada 10 Jun
1863. Dengan kemenangannya itu Tun Ahmad dilantik sebagai Bendahara Sewa Raja.
Dia dinasihatkan supaya tinggal di sebelah kanan hilir Sungai Pahang. Sebab itu
Bendahara Sewa Raja Tun Ahmad memiliki kuala Sungai Parit, yang dikenali
sebagai Pekan Lama.
Dengan
tindakan Bendahara Sewa Raja Tun Ahmad (Sultan Ahmad) ini, bukan sahaja Pulau
Maulana bahkan Lamir tidak lagi menjadi tempat tinggal Bendahara Pahang.
Sebagai mengingatkan Lamir sebagai tempat tinggal Bendahara Tun Ali, maka
Almarhum yang disemadikan di Makam Diraja Kampung Marhum dikenali sebagai
Marhum Lamir.
Sungguhpun
Lamir tidak lagi menjadi tempat tinggal Bendahara Pahang, tetapi ia terus maju
dan menjadi sebuah kampung yang terkenal hingga sekarang. Tambahan pula ia jadi
muka sebatang jalan kampung, iaitu jalan Pahang Tua-Langgar.