"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 4 Mac 2018

SULTAN ABDULLAH AL-MU’TASSIM BILLAH BERSEMAYAM DI ISTANA SERI TERENTANG

Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah merupakan satu-satunya Sultan Pahang yang tidak membina istana rasmi, sepanjang baginda menjadi Sultan Pahang, dari tahun 1917 hingga 1932.

Menurut cerita, apabila baginda menaiki tahta pada 19 Jun 1917, Sultan Abdullah telah bersemayam di Istana Seri Terentang; iaitu bekas istana Sultan Mahmud yang dibina dalam tahun 1905. Selain dari Istana Seri Terentang, Sultan Abdullah juga sering bersemayam di Istana Pantai; yang merupakan bekas istana Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah.
Banyak peristiwa bersejarah yang berlangsung di Istana Seri Terentang sepanjang pemerintahan Sultan Abdullah. Antaranya ialah istiadat perkahwinan putera dan puteri baginda.

Di istana ini juga adinda baginda, Tengku Besar Sulaiman dilantik sebagai Tengku Besar Pahang, pada 14 Ogos 1920. Dan di Istana Seri Terentang ini juga Sultan Abdullah jatuh gering dan mangkat pada hari Rabu, 22 Jun 1932.
Walaubagaimanapun, Istana Seri Terentang telah dirobohkan sekitar tahun 1940-an, iaitu di dalam zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.