"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Sabtu, 11 Februari 2017

PERHIASAN KAKI GAJAH KEPUNYAAN SULTAN ABDULLAH

Sewaktu hayatnya, Almarhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah gemar menyimpan pelbagai perhiasan, sama ada yang dibeli atau yang dihadiahkan kepada baginda.

Antaranya ialah perhiasan kaki gajah, yang diwarisi daripada Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah. Perhiasan kaki gajah ini dihadiahkan oleh Residen British Pahahg kepada Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah pada tahun 1888.

KOLEKSI SENAPANG MILIK ALMARHUM SULTAN AHMAD AL-MU’AZZAM SHAH

Salah satu dari kegemaran Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah sewaktu hayat baginda ialah berburu binatang buas di hutan belantara.

Setiap kali ada kelapangan, baginda akan keluar berburu selama beberapa hari sambil diiringi oleh pengiring-pengiring baginda di hutan-hutan berdekatan Pekan, Pulau Ganchong dan Pulau Maulana.

Menurut sejarah, sebelum tahun1888, kaedah pemburuan baginda ialah secara tradisional. Bagaimanapun, setelah kedatangan Residen British, J.P. Rodger dalam tahun 1888, bgainda telah dihadiahkan dengan senapang patah buatang England.

HUGH CLIFFORD NYARIS DITIKAM MAT KILAU DI RUMAH RESIDEN, KUALA LIPIS

Nasib menyebelahi Hugh Clifford kerana tujuan kedatangan Tok Gajah bersama anaknya, Mat Kilau untuk membunuhnya pada bulan Ogos 1891, telah diberitahu oleh seorang tukang masaknya yang bernama Umat.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Clifford telah menyediakan pengawal-pengawalnya di pintu masuk kediamannya di Kuala Lipis.
Tok Gajah dan Mat Kilau dipersilakan masuk ke kediaman Clifford. Tok Gajah duduk berhadapan dengan Clifford. Manakala Mat Kilau duduk di sebelah kiri, sambil tangannya memegang hulu keris. Clifford telah memberikan kata-kata nasihat kepada Tok Gajah sehingga menyebabkan pahlawan Pahang itu tidak jadi meneruskan niat yang telah dirancangnya.
Mat Kilau yang menunggu isyarat dari Tok Gajah untuk menikam Clifford, tidak jadi hendak melakukannya, setelah dilarang oleh Tok Gajah yang mengajaknya pulang ke Pulau Tawar.

Jumaat, 10 Februari 2017

DETIK TERAKHIR SEBELUM KEMANGKATAN TUANKU MUHAMMAD SHAH, NEGERI SEMBILAN

Dua hari sebelum kemangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah ibni Almarhum Tuanku Antah, iaitu pada 30 Julai 1933, baginda telah mengalami sakit perut yang amat sangat, menyebabkan baginda sukar hendak membuang air.

Walaupun pelbagai ikhtiar telah dilakukan menerusi rawatan dukun, pawang dan dijampi dengan air, tetapi penyakit baginda tidak berkurangan; sebaliknya semakin teruk. Doktor dari Hospital Besar Seremban telah dipanggil dan setelah diperiksa, doktor mendapati penyakit baginda sangat kronik dan perlu dibedah.

Pada jam 0930 pagi 31 Julai 1933, iaitu 29 jam sebelum mangkat, Tuanku Muhammad Shah telah dibawa ke Seremban dan diputuskan untuk dibedah, tetapi baginda menolak kerana tidak yakin dan mahu berangkat pulang ke Istana Seri Menanti.


Jam 9 pagi 01 Ogos 1933, iaitu 6 jam sebelum mangkat, baginda telah dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti dan tiba kira-kira jam 12 tengahari.

Jam 2 petang 01 Ogos 1933, kira-kira 45 minit sebelum mangkat, baginda meminta cermin mata. Setelah memakainya, baginda melihat sepuas-puasnya kepada putera-putera dan kaum kerabat baginda.

Jam 0240 petang, iaitu kira-kira lima minit sebelum baginda mangkat, baginda memeluk Tuanku Abdul Rahman, Tunku Laksamana Nasir dan anakanda bongsu baginda, Tunku Muhammad Alam Shah.

Beberapa saat kemudian, baginda menghembuskan nafas yang terakhir.

Ahad, 5 Februari 2017

PEMANGKU RAJA PAHANG ZIARAHI MAKAM TOK MUDA TENGKU RAZMAN SHAH

KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan mencemar duli menziarahi Makam Almarhum Tok Muda Tengku Dato’ Haji Razman Shah bin Tengku Arif Temenggong Ahmad.
 
Keberangkatan tiba KDYMM Pemangku Raja Pahang pada petang Ahad, 05 Februari 2017 disambut oleh YH Dato’ Setia Perkasa Pahang, YM Tengku Dato’ Sri Zulkifly bin Tengku Arif Temenggong Ahmad dan kaum kerabat Almarhum yang lain.
 
KDYMM Pemangku Raja Pahang juga turut berkenan bertahlil dan menyiram air mawar di makam Almarhum Tok Muda Tengku Dato’ Haji Razman Shah.













  
* Foto disumbangkan oleh YBhg. Dato' Shamsul Zumir bin Tok Muda Shahrir (Zoom) & Datin Lynn Adam.

Sabtu, 4 Februari 2017

JENAZAH TOK MUDA TENGKU DATO' RAZMAN SHAH SELAMAT DISEMADIKAN

Jenazah Orang Besar Enam Belas Pahang, YM Tok Muda Tengku Dato' Haji Razman Shah bin Tengku Arif Temenggong Ahmad, yang mangkat pada petang Jumaat, 03 Februari 2017, telah selamat disemadikan di Makam Diraja Pekan.
Jenazah Almarhum dibawa dari kediaman adindanya, Dato' Setia Perkasa Pahang, YM Tengku Dato' Sri Zulkifly di Taman Telok Chempedak, Kuantan dan jenazah disembahyangkan di Masjid Lama Pekan.
Jenazah Almarhum kemudiannya disemadikan berhampiran Makam Ayahandanya, Almarhum Tengku Arif Temenggong Ahmad ibni Almarhum Sultan Abdullah, di Makam Diraja Pekan, kira-kira jam 11 pagi, 04 Februari 2017.















AL-FATIHAH

YM TOK MUDA TENGKU DATO' HAJI RAZMAN SHAH BIN TENGKU ARIF TEMENGGONG AHMAD
(06 Oktober 1953 - 03 Februari 2017)

Orang Besar Enam Belas Pahang, YM Tok Muda Tengku Dato' Haji Razman Shah bin Tengku Arif Temenggong Ahmad telah mangkat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, pada hari Jumaat 03 Februari 2017, jam 0651 petang.

YM Tok Muda Tengku Dato' Haji Razman Shah adalah anakanda sulung kepada Almarhum Tengku Arif Temenggong Pahang II, Tengku Ahmad ibni Sultan Abdullah dan Cik Puan Kechil Tala'ah binti Haji Sulaiman; dan merupakan sepupu kepada KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Jenazah Almarhum dibawa pulang ke kediaman adindanya, Dato' Setia Perkasa Pahang, YM Tengku Dato' Sri Zulkifly di Taman Telok Chempedak dan akan dikebumikan di Makam Diraja Pekan pada jam 11 pagi, 04 Februari 2017.

Semuga Allah mencucuri Rahmat ke atas roh Almarhum. Al-Fatihah.