"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Isnin, 24 Oktober 2016

YANG MULIA TENGKU HASANAL IBRAHIM ALAM SHAH KETUAI PENERIMA DARJAH KEBESARAN NEGERI PAHANG 2016

Yang Mulia Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah ibni Tengku Mahkota Abdullah mengetuai penerima Darjah-Darjah dan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri Pahang sempena Istiadat Memuliakan Ulangtahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah, yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada 24 Oktober 2016.

Yang Mulia Tengku Hasanal ialah paduka anakanda kepada pasangan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri.
Istiadat pengurniaan anugerah Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang telah disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Majlis Istiadat pagi ini dimulakan dengan perarakan masuk Bintang-Bintang Kebesaran Negeri Pahang yang diketuai oleh YAM Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah.
Diikuti keberangkatan masuk Tengku Mahkota dan Tengku Puan Pahang diiringi Kerabat-Kerabat Bergelar yang diketuai oleh YAM Tengku Muda Pahang, manakala Orang Besar-Besar diketuai Orang Besar Berempat Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan.
Seramai 28 orang menerima anugerah Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Dato’. Antara penerima SIMP, tiga orang menantu, 17 orang paduka-paduka cucunda putera dan puteri kepada KDYMM Sultan Pahang.

Manakala darjah dan pingat lain, Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) 34 orang penerima, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) 126 penerima, SAP 21 orang penerima, SMP 66 orang penerima, AAP 46 orang penerima, AMP 42 orang penerima, PKC 57 orang penerima, PKT 61 orang penerima dan PJK 106 orang penerima.
Semua paduka-paduka anakanda KDYMM Sultan Pahang hadir di Balairong Seri Istana Abu Bakar, pada istiadat tersebut.
Istiadat hari ini diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Osman.