Perkara dan syarat yang diimlakkan
oleh Leftenan Kolonel Aldwell Taylor,
Gabenor dan Komandan Melaka, untuk dan bagi pihak Yang Mulia Gabenor Kota St.
George dengan Raja Merah Kapitan Penghulu, dll., yang bernama Dol Said; dan Lela Hulubalang dan Maulana Hakim, yang
bergelar Orang Kaya; Kecil yang bergelar Musah; dan Menobonjon-kaya bergelar
Konchil dan Maharaja Ankaia bergelar Sumuna; dan Maulana Garang, Menteri dan
Pembesar Naning dan kampung-kampung di sekelilingnya yang dengan sesungguhnya
telah menerima dan berikrar mematuhi Perkara-perkara berikut:-
Perkara I
Kapitan, atau Penghulu, Menteri, dan
Pembesar-pembesar berjanji dan bersumpah atas nama
dan bagi pihak seluruh masyarakat Naning, untuk taat setia
kepada Yang Mulia Gabenor dalam Majlis di Kota Saint George yang tersebut di
atas, dan demikian juga kepada Gabenor dan Komandan Bandar dan Kota ini, serta
semua Komandan yang ada atau yang selepas ini dilantik di bawah mereka dan
tambahan pula, mereka akan melakukan apa-apa sahaja dengan
penuh taat setia kepada Pihak Berkuasa British, sebagaimana
yang dikehendaki daripada rakyat yang taat setia, tanpa bersama-sama atau
secara berasingan mencuba melakukan apa-apa langkah permusuhan terhadap Gabenor
tersebut, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, dan Perkara-perkara
berikut hendaklah dipatuhi dengan sesungguhnya dan dengan seketat-ketatnya, dan
segala kontrak dan waad lain yang telah diluluskan dengan negara lain yang
boleh memudaratkan British hendaklah dimansuhkan.
Perkara II
Jika mana-mana orang di Naning, anak
Minangkabau dan anak Melayu, melanggar kandungan Kontrak ini, atau ingkar
kepada Gabenor atau Pegawainya, maka Penghulu dan Pembesar hendaklah, apabila
diminta oleh Gabenor, menyerahkan mereka bagi dihukum
sebagaimana sepatutnya.
Perkara III
Penghulu, Pembesar dan penduduk Naning
keturunan Minangkabau, dan juga Melayu, adalah terikat untuk menyerahkan satu per sepuluh daripada hasil padi dan segala buah-buahan
mereka kepada Syarikat Hindia Timur; tetapi memandangkan
keadaan mereka yang miskin, Syarikat tersebut telah memutuskan bahawa Penghulu
hendaklah datang sendiri, setiap tahun, atau mengarahkan salah seorang
Pembesarnya supaya datang ke Melaka, bagi memberi penghormatan kepada Syarikat,
dan, sebagai tanda taat setia mereka, mereka hendaklah
menghadiahkan Syarikat tuaian pertama mereka sebanyak setengah koyan padi (400
gantang).
Perkara IV
Penduduk Naning, apabila meninggalkan
negeri mereka untuk ke Melaka, hendaklah menyerahkan kepada Syahbandar kebenaran bertulis daripada Penghulu, yang ditandatangan dan dicapmeterainya; dan begitu juga
semua orang yang ingin meninggalkan Melaka untuk ke Naning, diarahkan supaya
menunjukkan dokumen serupa kepada pihak berkuasa di sana, yang ditandatangani
(atas perintah Kerajaan) oleh Syahbandar; jika tidak, kedua-dua pihak wajib
menghantar balik orang yang berkenaan itu; tetapi apabila ditunjukkan Perakuan
yang dikehendaki, mereka akan dibenarkan tinggal di Naning dan di
kampung-kampung bersebelahan dan mencari nafkah dengan bercucuk tanam seperti
menanam sirih, dll., dengan syarat mereka berpegang teguh dan mematuhi adat
resam tempat itu sebagaimana yang diamalkan penduduk lain.
Perkara V
Penghulu dan Pembesar berjanji bahawa semua bijih timah yang dibawa dari Sri Menanti, Sungai Ujong, Rembau, dan
tempat-tempat lain di daerah-daerah itu ke Naning, hendaklah dengan serta-merta
dihantar dan diserahkan kepada Syarikat, di mana mereka akan
menerima sebanyak 44 Dolar Rix tunai, dibayar dengan wang Rupee Surat, bagi
setiap bahara 300 kati.
Perkara VI
Mereka juga berjanji menyerahkan lada Naning dan lada daerah-daerah bersebelahan kepada
Syarikat, jika apa-apa jumlah yang banyak diperlukan, dengan
dibayar harga 12 Dolar Rix sebahara.
Perkara VII
Penghulu, Pembesar, dan penduduk
Naning tidak dibenarkan merunding (jualan) atau berdagang dengan mana-mana
negeri pedalaman, tetapi hendaklah membawa barang-barang
mereka menghilir Sungai Melaka, dengan menggunakannya, tanpa
apa-apa jua alasan untuk menggunakan mana-mana laluan atau cara pengangkutan
lain, dan mereka juga tidak boleh mengadakan apa-apa perhubungan dengan mana-mana
negeri pedalaman di Sungai Penajis, jika tidak nyawa mereka akan
melayang dan harta benda mereka dirampas.
Perkara VIII
Penghulu dan Pembesar berjanji, atas
nama Masyarakat Naning, bahawa bilamana Pembesar Yang Memerintah berundur
daripada memerintah, atau apa-apa geruh menimpa mereka, Penghulu dan Pembesar
hendaklah dalam keadaan sedemikian mencadangkan salah seorang daripada anggota
keluarga mereka yang terdekat dan paling berkelayakan, kepada Gabenor Melaka,
bagi menjadi penggantinya; tetapi mereka tidaklah boleh
mengharapkan cadangan itu akan sentiasa dipersetujui Gabenor; sebaliknya adalah
menjadi pilihan Gabenor melantik sesiapa yang difikirkannya patut dilantik.
Perkara IX
Mana-mana hamba sama ada kepunyaan
Syarikat Yang Mulia, atau kepunyaan penduduk Melaka, yang mencari perlindungan
di Naning, atau di kampung-kampung atau di tempat-tempat di sekelilingnya, maka
Penghulu, Pembesar dan penduduk (tiada sesiapa pun yang dikecualikan) adalah
terikat bagi menangkap dan menghantar ke Pekan orang
pelarian itu dengan serta-merta, (atau) orang pelarian itu
boleh diserahkan kepada tuan mereka dan tuntutan sebanyak 10 Dolar Rix, tidak
lebih daripada itu, boleh dituntut daripada tuannya sebagai hadiah.
Perkara X
Mana-mana hamba lelaki dan perempuan
yang dipujuk lari dari Naning ke Melaka, bagi memeluk
agama Kristian, maka tuan punya hamba itu akan menerima ganti rugi sebanyak
separuh daripada harga hamba itu, mengikut penilaian
Jawatankuasa yang akan dilantik Kerajaan.
Perkara XI
Tetapi (jika) mana-mana orang menjual
mana-mana hamba beragama Kristian atau orang biasa dari Melaka kepada orang
Islam atau orang Pagan, sama ada dengan kerelaan mereka sendiri atau digoda
ataupun dilarikan secara paksa daripada tuan mereka, lebih-lebih lagi mereka
yang menggoda hamba Kristian atau orang biasa supaya berkhatan atau menggunakan
kekerasan bagi mempengaruhi mereka menjadi orang Islam, nyawa mereka akan melayang dan harta benda mereka dirampas.
Perkara XII
Dan bahawa kandungan Perkara tersebut
hendaklah dipatuhi tanpa boleh dilanggar, dan Penghulu serta Pembesar berjanji
dan bersumpah atas nama seluruh masyarakat, bahawa mereka akan serta-merta
memulangkan dan menyerahkan kepada Yang Mulia Gabenor semua hamba yang lari
yang berada di Naning atau di tempat-tempat lain.
Perkara XIII
Akhir sekali, Penghulu dan Pembesar berjanji dan bersumpah dengan menggunakan al-Quran, atas nama masyarakat
Naning, bahawa mereka akan mematuhi dengan sesungguhnya segala perintah yang
ditetapkan dalam Perkara-perkara ini, dan mengikat diri mereka
bagi menyerahkan mana-mana pencabul perintah tersebut kepada Syarikat Hindia
Timur, supaya hukuman boleh dikenakan ke atas orang itu.
Bagi menyempurnakan segala yang
dijanjikan dan dipersetujui dalam Perjanjian ini, maka saya dengan ini
menurunkan tandatangan saya.
Dibuat dan diikrarkan di Bandar dan
Kota Melaka pada 16 hari bulan Julai 1801.
(Tandatangan) A. TAYLOR.
Ikrar Penghulu dan Pembesar Naning
Kami, Kapitan atau Penghulu dan
Pembesar-pembesar, berjanji dan bersumpah bagi pihak diri kami dan juga bagi
pihak masyarakat Naning, akan sentiasa taat setia kepada Gabenor dalam Majlis
Kota Saint George, Gabenor dan Komandan Melaka, serta semua Komander yang
dilantik atau yang akan dilantik di bawah mereka selepas ini, dan selanjutnya
akan menepati masa bagi memenuhi segala perintah dan
arahan yang dikeluarkan atau yang akan dikeluarkan selepas ini,
dan akan berkelakuan sewajarnya terhadap Syarikat Hindia Timur pada masa
hadapan, mengikut cara sebagaimana yang dikehendaki daripada rakyat dan vasal
yang taat setia.
Ditandatangani oleh DOL SAID, BILAL MOREN, KANJUN, SAMEON dan MAULANA GUNAN.