"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 31 Mac 2015

PINGAT SULTAN IBRAHIM JOHOR (P.S.I.)


Sempena Istiadat Kemahkotaan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, terdapat beberapa Darjah dan Bintang Kebesaran baharu yang diwujudkan di negeri Johor. Di antaranya ialah Pingat Sultan Ibrahim Johor (P.S.I.).

Pingat Sultan Ibrahim Johor mula dizahirkan pada 30 Mac 2015, bersamaan 9 Jamadil Akhir 1436 Hijrah. Ia dizahirkan dalam 3 kelas, iaitu:
1.  Pingat Sultan Ibrahim Johor Kelas Pertama (P.S.I. I), buah pingatnya diperbuat daripada emas.
2.  Pingat Sultan Ibrahim Johor Kelas Kedua (P.S.I. II), buah pingatnya diperbuat daripada perak.
3.  Pingat Sultan Ibrahim Johor Kelas Ketiga (P.S.I. III), buah pingatnya diperbuat daripada gangsa.

Ketiga-tiga pingat ini mempunyai rekabentuk yang sama, berdiameter 35mm. Pandangan hadapan pingat, terdapat imej DYMM Sultan Ibrahim. Di bahagian belakangnya terdapat imej tandatangan DYMM Tuanku, dan tertulis SULTAN IBRAHIM II JOHOR, di dalam tulisan jawi. Di bawahnya tertulis tahun 2015. Di bahagian atas imej tandatangan, terdapat imej Mahkota Johor.

Riben Pingat Sultan Ibrahim Johor ini berwarna merah di tengah-tengah dan berwarna biru dan putih di kiri dan kanan. Riben pingatnya berukuran 32mm lebar.