"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 30 Julai 2019

SEMBAH TAHNIAH SEMPENA PERTABALAN YANG DIPERTUAN AGONG XVI

Merafak Sembah & Setinggi-Tinggi Ucapan Tahniah ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mus’tain Billah & Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj
Sempena Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong XVI

اَللّٰهُ أَكْبَر‎
DAULAT TUANKU
DIRGAHAYU TUANKU

Khamis, 11 Julai 2019

SEMBAH TAHNIAH DI ATAS PERSEMBAHAN DARJAH KEBESARAN D.K.M. & D.M.N.

Sembah Tahniah ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah dipersembahkan Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia (DKM).
Sembah Tahniah juga ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, yang telah dipersembahkan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN).
DAULAT TUANKU

Jumaat, 24 Mei 2019

GARIS PANDUAN SEPANJANG TEMPOH BERKABUNG

Kerabat Diraja - 100 Hari
Rakyat Jelata - 40 Hari

Rabu, 22 Mei 2019

PAHANG BERDUKA

Merafak Sembah Takziah ke sisi KDYMM Sultan Pahang, Kerabat Diraja Pahang & Seluruh Rakyat Negeri Pahang Darul Makmur, di atas Kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu'adzam Shah.
Semuga Allah SWT mencucuri rahmatNya ke atas roh Almarhum.

الفاتحة 

‎بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم

‎ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞امين

Isnin, 13 Mei 2019

ISTIADAT BERSIRAM TENGKU MAHKOTA TENGKU ABDULLAH, 23 OKTOBER 1977

Tembakan meriam satu das pada jam 6.30 pagi, memecah kesunyian pagi hari Ahad yang bersejarah, 23 Oktober 1977. Tembakan ini sebagai semboyan bermulanya Istiadat Bersiram Tengku Abdullah sebagai Tengku Mahkota Pahang.

Hampir sejam selepas itu, lebih kurang jam 7.25 pagi, Tengku Abdullah dengan diiringi oleh Adindanya, Tengku Abdul Rahman yang berpakaian istiadat berwarna hitam dan Ayahanda saudara baginda, Tengku Abdullah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang berpakaian istiadat berwarna merah jambu, serta diiringi oleh Kerabat-kerabat Bergelar, Kerabat-kerabat Diraja dan Orang-orang Besar Negeri, berangkat dari Istana Abu Bakar ke Panca Persada setinggi 5 tingkat yang dibina di perkarangan istana, bagi menyempurnakan Istiadat Bersiram iaitu sebahagian daripada upacara yang terkandung di dalam Istiadat Permasyhuran Gelar Tengku Mahkota Pahang.

Perarakan penuh Istiadat Bersiram pada pagi itu didahului oleh nenda saudara baginda, Tengku Panglima Perang Pahang, Tengku Ahmad ibni Almarhum Sultan Abdullah (kemudiannya dilantik sebagai Tengku Arif Temenggong Pahang). Sebaik sahaja Tengku Abdullah bersemayam di tingkat teratas Panca Persada, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Tengku Ampuan Hajah Afzan pun berangkat, bagi menyaksikan Istiadat Bersiram tersebut.
Istiadat Bersiram dimulakan ke atas tubuh Tengku Abdullah setelah tembakan meriam 16 das dilepaskan. Istiadat Bersiram tersebut yang melambangkan penyucian jasmani dan rohani seorang bakal Raja Pemerintah, dijalankan satu persatu menurut peraturan Adat Istiadat Diraja Pahang sejak zaman berzaman.

Baginda telah dipersiramkan oleh kekanda sulung baginda, Tengku Meriam dan bonda saudara baginda, Tengku Hanizah binti Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad. Kain penapis bersiram ditatang oleh 5 orang Kerabat Diraja, iaitu Tengku Nong Habsah binti Tengku Abdul Rahman, Tengku Aina binti Tengku Abdullah, Tengku Nor Sahariah binti Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad, Tengku Azam Khatijah binti Tengku Ali dan Tengku Kalsom binti Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sebaik sahaja doa selamat dibacakan oleh Mufti Negeri Pahang, Haji Mohd Sidek Haji Ariffin, tembakan meriam 16 das dilepaskan bagi menandakan Istiadat Bersiram telah selamat disempurnakan, pada jam 9.30 pagi.

Khamis, 2 Mei 2019

ISTIADAT SANTAP NASI ADAP-ADAPAN, 23 OKTOBER 1977

Sebelum Istiadat Pemasyhuran Gelaran Tengku Mahkota Pahang ke atas tubuh Tengku Abdullah ibni Sultan Haji Ahmad Shah disempurnakan di Balairong Seri Istana Abu Bakar, Pekan pada jam 12.05 tengahari, Baginda terlebih dahulu berangkat ke Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, yang berlangsung di Istana Abu Bakar pada sebelah paginya.

Sambil diapit oleh kekanda-kekandanya, Tengku Muhaini yang berdiri di sebelah kanan dan Tengku Aishah yang berdiri di sebelah kiri sebagai Pengganding, Tengku Abdullah disilakan bersemayam di atas Pentarakna oleh dua orang bonda saudara Baginda, iaitu Tengku Seri Nila Utama Pahang, Tengku Ainun Jamil binti Almarhum Sultan Abu Bakar dan Tengku Hashimah binti Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad.

Setelah selesai santap Nasi Adap-Adapan tersebut dengan dilayan anak orang baik-baik, tembakan meriam sebanyak 16 das dilepaskan, sebagai semboyan istiadat tersebut telah selamat disempurnakan.

Rabu, 24 April 2019

LAGU NEGERI PAHANG BERUSIA 94 TAHUN

Lagu Negeri Pahang yang juga dikenali dengan nama ‘Allah Selamatkan Sultan Kami’ kini telah berusia hampir 94 tahun.

Ia telah dikarang oleh  Miss Dorothy Lilian Sworder pada tahun 1924 dan dimainkan secara rasmi oleh State Band Council pada tahun 1925 di Kuala Lumpur. Lagu ini diambil dari garapan lagu Perang Pahang. Ia kemudiannya telah diwujudkan atas permintaan Sultan Pahang ke-3, Almarhum Al-Mu’tassim Billah Al-Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan  Ahmad Al-Mu'azzam Shah.