"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Isnin, 13 Mei 2019

ISTIADAT BERSIRAM TENGKU MAHKOTA TENGKU ABDULLAH, 23 OKTOBER 1977

Tembakan meriam satu das pada jam 6.30 pagi, memecah kesunyian pagi hari Ahad yang bersejarah, 23 Oktober 1977. Tembakan ini sebagai semboyan bermulanya Istiadat Bersiram Tengku Abdullah sebagai Tengku Mahkota Pahang.

Hampir sejam selepas itu, lebih kurang jam 7.25 pagi, Tengku Abdullah dengan diiringi oleh Adindanya, Tengku Abdul Rahman yang berpakaian istiadat berwarna hitam dan Ayahanda saudara baginda, Tengku Abdullah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang berpakaian istiadat berwarna merah jambu, serta diiringi oleh Kerabat-kerabat Bergelar, Kerabat-kerabat Diraja dan Orang-orang Besar Negeri, berangkat dari Istana Abu Bakar ke Panca Persada setinggi 5 tingkat yang dibina di perkarangan istana, bagi menyempurnakan Istiadat Bersiram iaitu sebahagian daripada upacara yang terkandung di dalam Istiadat Permasyhuran Gelar Tengku Mahkota Pahang.

Perarakan penuh Istiadat Bersiram pada pagi itu didahului oleh nenda saudara baginda, Tengku Panglima Perang Pahang, Tengku Ahmad ibni Almarhum Sultan Abdullah (kemudiannya dilantik sebagai Tengku Arif Temenggong Pahang). Sebaik sahaja Tengku Abdullah bersemayam di tingkat teratas Panca Persada, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Tengku Ampuan Hajah Afzan pun berangkat, bagi menyaksikan Istiadat Bersiram tersebut.
Istiadat Bersiram dimulakan ke atas tubuh Tengku Abdullah setelah tembakan meriam 16 das dilepaskan. Istiadat Bersiram tersebut yang melambangkan penyucian jasmani dan rohani seorang bakal Raja Pemerintah, dijalankan satu persatu menurut peraturan Adat Istiadat Diraja Pahang sejak zaman berzaman.

Baginda telah dipersiramkan oleh kekanda sulung baginda, Tengku Meriam dan bonda saudara baginda, Tengku Hanizah binti Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad. Kain penapis bersiram ditatang oleh 5 orang Kerabat Diraja, iaitu Tengku Nong Habsah binti Tengku Abdul Rahman, Tengku Aina binti Tengku Abdullah, Tengku Nor Sahariah binti Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad, Tengku Azam Khatijah binti Tengku Ali dan Tengku Kalsom binti Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sebaik sahaja doa selamat dibacakan oleh Mufti Negeri Pahang, Haji Mohd Sidek Haji Ariffin, tembakan meriam 16 das dilepaskan bagi menandakan Istiadat Bersiram telah selamat disempurnakan, pada jam 9.30 pagi.