"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Khamis, 8 Mei 2014

TUJUH PUTERA PUTERI SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH


Perkahwinan Tengku Ahmad Shah dengan Tengku Afzan di Kuala Lipis pada 24 April 1954 telah dikurniakan 2 orang putera dan 5 orang puteri.

Mereka ialah Tengku Tan Sri Meriam (Tengku Puteri Lela Wangsa), Tengku Muhaini (Tengku Puteri Seri Teja), Tengku Aishah (Tengku Puteri Seri Kemala), Tengku Abdullah (Tengku Mahkota), Tengku Abdul Rahman (Tengku Muda), Tengku Nong Fatimah (Tengku Puteri Seri Lela Manja) dan Tengku Shahariah (Tengku Puteri Seri Bongsu). Ketujuh-tujuh putera puteri ini diputera dan diputerikan di Pekan, sewaktu Tengku Haji Ahmad Shah menjadi Tengku Mahkota Pahang dan bersemayam di Istana Mangga Tunggal, Pekan.


Apabila Tengku Haji Ahmad Shah dilantik menjadi Sultan Pahang dalam tahun 1974 berikutan kemangkatan Sultan Abu Bakar, Baginda telah berpindah dan membawa bersama keluarga bersemayam di Istana Abu Bakar, Pekan.

Putera puteri Sultan Haji Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Hajah Afzan membesar dan mendapat pendidikan di sekolah rendah dan menengah di Pekan, sebelum melanjutkan pengajian di luar negara dan berjaya memperolehi kelulusan mengikut bidang masing-masing.

Rabu, 12 Februari 2014

SULTAN PAHANG PERTAMA DISEMADIKAN DI MAKAM DIRAJA KAMPUNG MARHUM


Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah telah mangkat di Istana Pantai, Pekan pada 9 Mei 1914 sewaktu berusia 78 tahun. Jenazah baginda telah dibawa ke Kuala Pahang dan disemadikan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang.

Almarhum merupakan Sultan Pahang pertama yang memakai gelaran Sultan yang disemadikan di Makam Diraja tersebut. Putera Almarhum, Sultan Abdullah merupakan Sultan Pahang terakhir yang disemadikan di Makam Diraja Kampung Marhum, iaitu pada 22 Jun 1932.

Menurut Sejarah Pahang, Makam Diraja Kampung Marhum telah wujud sejak kurun ke-18 lagi. Bendahara Tun Habib Abdul Majid merupakan Bendahara Pahang pertama disemadikan di situ, dalam tahun 1780-an. Diikuti Bendahara Tun Koris dalam tahun 1806 dan Bendahara Wan Ali dalam tahun 1856.

Ahad, 1 September 2013

GABENOR HARRY ORD ATUR PERDAMAIAN ANTARA SULTAN ABU BAKAR JOHOR DAN WAN AHMAD PAHANG


Pada 1 September 1868, Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Harry Ord menyaksikan satu perjanjian damai yang ditandatangani di antara Temenggung Abu Bakar (Johor) dengan Bendahara Wan Ahmad (Pahang). Perjanjian tersebut berlangsung di Singapura, yang diatur sendiri oleh Harry Ord.


Peristiwa yang membawa kepada perjanjian tersebut berpunca daripada tindakan Bendahara Wan Ahmad yang menuntut semula daerah Pahang yang diserahkan oleh Bendahara Wan Mutahir kepada Sultan Abu Bakar pada 1863. Bendahara Wan Ahmad yang menang ‘Perang Saudara Pahang’ pada Jun 1863 mengugut akan menyerang Johor sekiranya tuntutannya tidak ditunaikan.

Gabenor Harry Ord telah mengambil daya usaha mengatur perjanjian damai itu, bagi mengelakkan peperangan.

Khamis, 14 Mac 2013

TOK JEBEK BIN AKIL, PAHLAWAN SULTAN AHMAD AL-MU’AZZAM SHAH

Tok Jebek bin Akil tidak terkenal seperti Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan lain-lain pahlawan Pahang, sewaktu menentang Inggeris dalam ‘Pemberontakan Pahang (1891-1895)’. Namun beliau adalah salah seorang pahlawan yang disayangi oleh Sultan Ahmad kerana jasa dan pengorbanannya membantu baginda dalam  ‘Perang Saudara Pahang (1857-1863)’.

Sebagai mengenang jasanya, beliau telah dianugerahkan sehelai bendera, sehelai kain destar dan bengkung hitam. Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah juga telah mengurniakan gelaran Orang Besar Pahang, yang menguasai kawasan Bohor, sebuah kampung di dalam daerah Bera.

Menurut sejarah, Tok Jebek telah dilahirkan di Kampung Bohor dalam tahun 1842 dan meninggal dunia di Mekah dalam tahun 1916. Keturunan Tok Jebek masih terdapat di Kampung Bohor, pada masa sekarang.

Rabu, 13 Mac 2013

SEJARAH BATU NISAN PECAH DI MAKAM CHONDONG


Pada suatu hari di dalam tahun 1906, sekumpulan gajah sedang melintasi sebuah tanah perkuburan lama yang terletak di Kampung Mengkasar, Pekan. Tiba-tiba seekor daripada gajah-gajah itu telah naik minyak dan menyondol batu-batu nisan yang terdapat di makan itu, menyebabkan ia condong dan pecah.



Menurut cerita orang-orang tua, kejadian itu berlaku sewaktu gajah-gajah itu sedang menarik kayu-kayu untuk dibawa ke tapak istana Tengku Besar Mahmud. Pada masa itu, kerja-kerja membina istana Tengku besar Mahmud sedang rancak dijalankan dan memerlukan banyak gajah untuk menarik kayu-kayu tersebut.



Disebabkan batu nisan itu pecah dan condong, lalu makam itu dinamakan Makam Chondong. Makam ini terletak kira-kira 2 kilometer dari Bandar Pekan. Ia merupakan makamj diraja paling tua di negeri Pahang, selain Makam Sultan Muhammad Syah di Dusun Pinang, Pahang Tua dan Makam Diraja Kampung Marhum.

Sabtu, 15 Disember 2012

AHLI JAWATANKUASA PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA CAWANGAN PAHANG 2012-2014


Penaung Utama
KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah

Penaung
KDYTM Tengku Abdullah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah

Penasihat
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob
Menteri Besar Pahang

YB Dato’ Haji Wan Adnan bin Wan Mamat
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan & Kebudayaan Negeri Pahang

Pengerusi
YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang
Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan

Naib Pengerusi
YH Dato’ Haji Abdul Ghani bin L. Sulaiman

Setiausaha Kehormat
YH Dato’ Haji Zainuddin bin Haji Jumaat

Penolong Setiausaha Kehormat
Tuan Haji Bahassan bin Haji Abdul Rahman

Bendahari Kehormat
YH Dato’ Haji Abdul Rahman bin Imam Arshad

Pengarang Kehormat
Tuan Haji Mohd. Hadi bin Shirin

Ahli Jawatankuasa
1. YH Tan Sri Dato’ Sri Haji Abdul Rashid bin Haji Abdul Rahman
2. YH Dato’ Haji Jaafar bin Salleh
3. Tuan Haji Mokhtar bin Abdullah
4. Tuan Haji Yaakub bin Haji Abdullah
5. Puan Hajjah Ramlah binti Mohammad
6. Drs. Wan Aminuddin bin Wan Abdul Hamid
7. Tuan Haji Alang Ahmad bin Haji Teh
8. Encik Abdul Manaf bin Talib
9. Encik Aziz bin Kassim
10. Puan Hajjah Rohana binti Haji Omar
11. Encik Ibrahim bin Mat Akil
12. Dr. Ahmad Fadzil bin Abdullah
13. YBhg. Datin Sharifah Zaiton binti Syed Merican
14. Encik Ramli bin Mat Akil
15. Encik Badlishah bin Alauddin

Ahli Ex-Officio
1. Pengurus Besar Yayasan Pahang
2. Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang
3. Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang
4. Pengarah Arkib Negara Cawangan Terengganu / Pahang
5. Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang
6. Pengarah Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negeri Pahang

Juru Audit
1. Puan Hajjah Saedah binti Md. Shariff
2. Haji Alias bin Salleh