"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Khamis, 7 Julai 2022

FOTO RASMI TERAKHIR SULTAN ABDUL SAMAD

 
Sultan Sir Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah merupakan Sultan Selangor ke-4. Baginda telah diputerakan di dalam tahun 1804 di Bukit Melawati, Kuala Selangor. Ayahanda Baginda ialah Raja Abdullah ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah. Bonda baginda bernama Che’ Lipah.
 
Baginda menaiki tahta sebagai Sultan Selangor ke-4 di dalam tahun 1857, setelah berlakunya beberapa pertelingkahan untuk melantik pengganti Sultan. Sultan Selangor ke-3, Sultan Muhammad Shah ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah mangkat tanpa melantik pewaris tahta.
 
Semasa Baginda hendak berangkat ke Kuala Kangsar untuk menghadiri Persidangan Raja-Raja Melayu (DURBAR) yang pertama, yang diadakan pada 13 sehingga 17 Julai 1897 di Istana Negara, Kuala Kangsar Perak, Sultan berusia 93 tahun dan sedang gering. Walau bagaimanapun, Baginda tetap berkeras untuk berangkat, walaupun Raja Muda Selangor, Raja Sulaiman ibni Almarhum Raja Muda Musa menawarkan diri untuk mewakili Baginda ke Persidangan DURBAR tersebut.
 
Sepanjang seminggu berada di Bukit Chandan, Sultan Abdul Samad lebih banyak berehat di dalam kamar khas yang disediakan oleh Sultan Idris Perak, di Istana Negara Kuala Kangsar. Baginda mewakilkan Raja Muda Selangor, Raja Sulaiman sepanjang Persidangan DURBAR berlangsung.
 
Enam bulan setelah pulang dari Kuala Kangsar, Baginda jatuh gering dan mangkat di Istana Bandar Temasya, Jugra, Kuala Langat pada jam 10.45 pagi, 6 Februari 1898 dan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Jugra, selepas solat Asar.
 
Gambar ramai yang dirakamkan sewaktu Persidangan DURBAR yang pertama, pada Julai 1857 itu merupakan foto rasmi terakhir Almarhum Sultan Sir Abdul Samad.

BINTANG C.B.E. DATO’ UNDANG ABDULLAH TERSIMPAN DI KAMPUNG ULU JELEBU

Dato’ Mendika Menteri Akhirul Zaman Dato’ Abdullah bin Panglima Muda Lok merupakan Dato’ Undang Luak Jelebu ke-12. Beliau menjadi Undang Luak Jelebu, daripada tahun 1902 sehingga 1945. Dato’ Undang Abdullah adalah daripada Suku Biduanda, Waris Sarin.


Dato’ Undang Abdullah meninggal dunia pada tahun 1945. Beliau meninggalkan banyak harta pusaka, termasuk Bintang Commander of The Order of The English Empire (C.B.E.), yang dianugerahkan oleh King George V, pada tahun 1935. Bintang C.B.E, tersebut telah disampaikan oleh Sir Shenton Thomas, Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Diceritakan, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-8, Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad turut mencemar duli berangkat ke Kediaman Rasmi Dato’ Undang Abdullah, untuk menyaksikan penganurahan bintang tersebut.


Setelah Dato’ Undang Abdullah meninggal dunia, Bintang C.B.E. tersebut telah diwariskan kepada anak lelaki sulungnya, yang bernama Muhammmad Sharif. Setelah anak lelaki sulungnya itu meninggal dunia dalam sekitar tahun 2001, bintang tersebut disimpan oleh menantu dan waris-warisnya yang tinggal di Kampung Ulu Jelebu, Kuala Klawang, sehingga kini.

MAKAM TUANKU MUNAWIR TERLETAK DI MAKAM DIRAJA SERI MENANTI

Tuanku Munawir ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman merupakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-9. Baginda diputerakan pada 29 Mac 1922, di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Baginda menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dari 5 April 1960 sehingga 14 April 1967.
 

Tuanku Munawir merupakan putera sulung Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-8. Tuanku Munawir telah mangkat kerana penyakit kencing manis di Istana Hinggap, Seremban, pada petang 14 April 1967. Kemangkatan Baginda pada usia 45 tahun, amat memeranjatkan seluruh rakyat jelata.
 

Jenazah Baginda telah dibawa pulang ke Seri Menanti, untuk diberikan penghormatan terakhir dan disemadikan pada 18 April 1967, di Makam Diraja Seri Menanti bersebelahan dengan Makam Ayahandanya, Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Khamis, 30 Jun 2022

RAJA AZLAN SHAH, PUTERA RAJA PERTAMA MENJADI HAKIM

Raja Azlan Shah ibni Raja Yussuff Shah diputerakan pada 19 April 1928, di Kampung Manggis,Batu Gajah, Perak. Merupakan putera kedua kepada Raja Bendahara Yussuff (kemudiannya Sultan Yussuff Izzuddin Shah) dan Toh Puan Besar Hatijah binti Toh Indera Wangsa Ahmad.
 
Raja Azlan Shah telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 1965, ketika berusia 37 tahun. Pelantikan ini menjadikan Baginda sebagai putera raja pertama yang bergelar hakim. Baginda juga merupakan hakim termuda dalam sejarah Kehakiman Komanwel. Bagaimanapun, Ayahandanya tidak sempat menyaksikan kejayaan dan pencapaian Raja Azlan Shah itu, kerana Ayahandanya, Sultan Yussuf Izzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Karamatullah Nasiruddin Muhtaram Shah telah dahulu mangkat pada 4 Januari 1963.
 
Raja Azlan Shah telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Batu Gajah dan Sekolah Anderson, Ipoh, sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Nottingham, England dalam Jurusan Undang-Undang.
 
Selepas dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya di dalam tahun 1965, Raja Azlan Shah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan di dalam tahun 1973 dan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, di dalam tahun 1979.
 

Kemudiannya, pada 12 November 1982, Raja Azlan Shah telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, bagi menggantikan Tun Mohamad Suffian Hashim, yang bersara. Raja Azlan Shah memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara dari 12 November 1982 sehingga 2 Februari 1984. Raja Azlan Shah kemudiannya dimasyhurkan sebagai Paduka Seri Sultan Perak yang ke-34, pada 3 Februari 1984. Ianya bagi menggantikan Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kaddasullah, yang mangkat pada 31 Januari 1984.
 

Raja Azlan Shah menggunakan gelaran Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah. Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah mangkat pada 28 Mei 2014, di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur, di usia 86 tahun.

Sabtu, 25 Jun 2022

SULTAN ALAUDDIN RIAYAT SHAH I MANGKAT DIPERCAYAI AKIBAT DIRACUN

Sultan Alauddin Riayat Shah ibni Almarhum Sultan Mansur Shah merupakan Sultan Melaka yang ketujuh. Baginda menaiki tahta selepas kemangkatan ayahandanya, Sultan Mansur Shah ibni Almarhum Sultan Muzaffar Shah, di dalam tahun 1477. Nama sebenar Baginda ialah Raja Hussain.
 
Dalam Sejarah Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah I dianggap sebagai Sultan Melaka yang paling cemerlang, sama ada dari segi pemerintahan, menjaga keamanan negeri dan membuat bakti kepada rakyat. Sepanjang pemerintahan Baginda sebagai Sultan Melaka ketujuh, dari tahun 1477 hingga 1488, Sultan Alauddin Riayat Shah I telah menjadikan negeri Melaka maju dan Makmur.
 
Baginda dan penasihat baginda, Hang Isap sering menyamar sebagai rakyat biasa dan meronda di Kota Melaka, pada waktu malam. Ini kerana dikatakan telah berlaku banyak kecurian di kalangan rakyat di negeri Melaka. Baginda yang diringi Hang Isap dan Hang Siak telah berjaya menangkap pencuri tersebut dan kesemua pencuri tersebut telah dihukum bunuh.
 

Bagaimanapun, kebaikan dan kebijaksanaan Sultan Alauddin Riayat Shah I telah menimbulkan rasa iri hati dan dengki, sehingga menyebabkan Baginda dikhianati oleh pembesar Baginda sendiri. Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang ada mencatatkan perihal itu.
 
Baginda telah meninggalkan Melaka pada penghujung tahun-tahun 1480-an, kerana telah kedengaran wujudnya satu komplot besar untuk menjatuhkan Baginda. Baginda mangkat di dalam tahun 1488, pada usia kira-kira 30 tahun.
 
Baginda dipercayai mangkat akibat diracun oleh pembesar baginda sendiri, yang dikatakan datang menziarahi baginda seminggu sebelum Baginda mangkat. Jenazah Sultan Alauddin Riayat Shah I dimakamkan di Kampung Raja, Pagoh, Muar, Johor.

Selasa, 7 Jun 2022

Y.A.M. TENGKU PANGLIMA RAJA DIPAKAIKAN PANGKAT KOLONEL

Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah telah dipakaikan dengan pangkat Kolonel, di dalam suatu majlis pada Selasa 7 Jun 2022. Majlis Pemakaian Pangkat ini berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur.



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan berangkat dan berkenan menyempurnakan sendiri Majlis Pemakaian Pangkat tersebut. Kenaikan pangkat Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja, daripada Leftenan Kolonel kepada Kolonel adalah berkuatkuasa pada 7 April 2022. Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja adalah merupakan Komander Rejimen 505 Askar Wataniah.
 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong juga telah berkenan menyempurnakan Majlis Mengangkat Sumpah Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah, sebagai Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia.

 
Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda dijadualkan akan menghadiri kursus Commanding Course di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom mulai 22 Ogos 2022 sehingga 18 Ogos 2023.
 





(Foto Istana Negara)

Isnin, 6 Jun 2022

Y.A.M. TENGKU PUTERI SERI TEJA DIANUGERAHKAN P.J.N.

Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Puan Sri Hajjah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (P.J.N.), sempena Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong XVI, pada Isnin 6 Jun 2022. 

 
 
Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja merupakan Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT), Angkatan Tentera Malaysia. Sebelum ini, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja pernah dianugerahkan Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (S.I.M.P.), pada 24 Oktober 1988, dan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang, Peringkat Kedua (D.K. II) pada 1997, oleh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
 

Darjah Kebesaran P.J.N. ini membawa gelaran Datuk. Ianya dizahirkan pada 2 Mei 1995 dan keanggotaannya terhad seramai 1500 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.