"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Rabu, 22 Mei 2019

PAHANG BERDUKA

Merafak Sembah Takziah ke sisi KDYMM Sultan Pahang, Kerabat Diraja Pahang & Seluruh Rakyat Negeri Pahang Darul Makmur, di atas Kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu'adzam Shah.
Semuga Allah SWT mencucuri rahmatNya ke atas roh Almarhum.

الفاتحة 

‎بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم

‎ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞امين

Isnin, 13 Mei 2019

ISTIADAT BERSIRAM TENGKU MAHKOTA TENGKU ABDULLAH, 23 OKTOBER 1977

Tembakan meriam satu das pada jam 6.30 pagi, memecah kesunyian pagi hari Ahad yang bersejarah, 23 Oktober 1977. Tembakan ini sebagai semboyan bermulanya Istiadat Bersiram Tengku Abdullah sebagai Tengku Mahkota Pahang.

Hampir sejam selepas itu, lebih kurang jam 7.25 pagi, Tengku Abdullah dengan diiringi oleh Adindanya, Tengku Abdul Rahman yang berpakaian istiadat berwarna hitam dan Ayahanda saudara baginda, Tengku Abdullah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang berpakaian istiadat berwarna merah jambu, serta diiringi oleh Kerabat-kerabat Bergelar, Kerabat-kerabat Diraja dan Orang-orang Besar Negeri, berangkat dari Istana Abu Bakar ke Panca Persada setinggi 5 tingkat yang dibina di perkarangan istana, bagi menyempurnakan Istiadat Bersiram iaitu sebahagian daripada upacara yang terkandung di dalam Istiadat Permasyhuran Gelar Tengku Mahkota Pahang.

Perarakan penuh Istiadat Bersiram pada pagi itu didahului oleh nenda saudara baginda, Tengku Panglima Perang Pahang, Tengku Ahmad ibni Almarhum Sultan Abdullah (kemudiannya dilantik sebagai Tengku Arif Temenggong Pahang). Sebaik sahaja Tengku Abdullah bersemayam di tingkat teratas Panca Persada, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Tengku Ampuan Hajah Afzan pun berangkat, bagi menyaksikan Istiadat Bersiram tersebut.
Istiadat Bersiram dimulakan ke atas tubuh Tengku Abdullah setelah tembakan meriam 16 das dilepaskan. Istiadat Bersiram tersebut yang melambangkan penyucian jasmani dan rohani seorang bakal Raja Pemerintah, dijalankan satu persatu menurut peraturan Adat Istiadat Diraja Pahang sejak zaman berzaman.

Baginda telah dipersiramkan oleh kekanda sulung baginda, Tengku Meriam dan bonda saudara baginda, Tengku Hanizah binti Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad. Kain penapis bersiram ditatang oleh 5 orang Kerabat Diraja, iaitu Tengku Nong Habsah binti Tengku Abdul Rahman, Tengku Aina binti Tengku Abdullah, Tengku Nor Sahariah binti Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad, Tengku Azam Khatijah binti Tengku Ali dan Tengku Kalsom binti Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sebaik sahaja doa selamat dibacakan oleh Mufti Negeri Pahang, Haji Mohd Sidek Haji Ariffin, tembakan meriam 16 das dilepaskan bagi menandakan Istiadat Bersiram telah selamat disempurnakan, pada jam 9.30 pagi.

Khamis, 2 Mei 2019

ISTIADAT SANTAP NASI ADAP-ADAPAN, 23 OKTOBER 1977

Sebelum Istiadat Pemasyhuran Gelaran Tengku Mahkota Pahang ke atas tubuh Tengku Abdullah ibni Sultan Haji Ahmad Shah disempurnakan di Balairong Seri Istana Abu Bakar, Pekan pada jam 12.05 tengahari, Baginda terlebih dahulu berangkat ke Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, yang berlangsung di Istana Abu Bakar pada sebelah paginya.

Sambil diapit oleh kekanda-kekandanya, Tengku Muhaini yang berdiri di sebelah kanan dan Tengku Aishah yang berdiri di sebelah kiri sebagai Pengganding, Tengku Abdullah disilakan bersemayam di atas Pentarakna oleh dua orang bonda saudara Baginda, iaitu Tengku Seri Nila Utama Pahang, Tengku Ainun Jamil binti Almarhum Sultan Abu Bakar dan Tengku Hashimah binti Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad.

Setelah selesai santap Nasi Adap-Adapan tersebut dengan dilayan anak orang baik-baik, tembakan meriam sebanyak 16 das dilepaskan, sebagai semboyan istiadat tersebut telah selamat disempurnakan.

Rabu, 24 April 2019

LAGU NEGERI PAHANG BERUSIA 94 TAHUN

Lagu Negeri Pahang yang juga dikenali dengan nama ‘Allah Selamatkan Sultan Kami’ kini telah berusia hampir 94 tahun.

Ia telah dikarang oleh  Miss Dorothy Lilian Sworder pada tahun 1924 dan dimainkan secara rasmi oleh State Band Council pada tahun 1925 di Kuala Lumpur. Lagu ini diambil dari garapan lagu Perang Pahang. Ia kemudiannya telah diwujudkan atas permintaan Sultan Pahang ke-3, Almarhum Al-Mu’tassim Billah Al-Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan  Ahmad Al-Mu'azzam Shah.

Selasa, 23 April 2019

LAKSAMANA MELAKA HANG NADIM

Ilustrasi Hang Nadim
Laksamana Hang Nadim adalah anak kepada Laksamana Hang Jebat yang dibesarkan oleh Laksamana Hang Tuah. Beliau lahir melalui hasil perkahwinan Hang Jebat dan Dang Wangi, yang juga dikenali sebagai Dang Inangsih.

Beliau dilantik sebagai Laksamana Melaka menggantikan Laksamana Khoja Hassan, setelah kejatuhan Kota Melaka. Beliau terlibat dalam peperangan dengan Portugis, dalam 32 kali pertempuran. Hasil perkahwinan Laksamana Hang Nadim dengan anak keempat Hang Tuah bernama Tun Mas Jiwa, telah dikurniakan seorang anak lelaki bernama Tun Mat Ali. Laksamana Hang Nadim berkahwin lebih dari seorang dan mempunyai ramai anak.

Beliau pernah mengetuai serangan sebanyak dua kali, untuk menduduki Melaka semula. Walau bagaimanapun, serangan itu berjaya dipatahkan oleh Portugis. Laksamana Hang Nadim telah menggunakan strategi menyekat bekalan makanan dari memasuki Kota Melaka. Tindakan ini telah berjaya dan menyebabkan Kota Melaka mengalami kekurangan bekalan makanan yang serius. Tekanan yang diberikan oleh Laksamana Hang Nadim ke atas Portugis di Kota Melaka hanya terhenti apabila bantuan ketenteraan Portugis dari Goa India tiba.

Selain itu juga, Laksamana Hang Nadim adalah orang yang paling penting dalam menyusun pertahanan Sultan Melaka di Kopak, Bentan. Beliau berjaya mempertahankan kubu ini dalam jangka masa yang panjang, sehingga menimbulkan kerugian yang besar kepada pihak Portugis, serta menjejaskan perdagangan Portugis di Melaka.

Setelah kemangkatan Sultan Mahmud Syah Melaka di Kampar, Laksamana Hang Nadim meneruskan khidmat baktinya di bawah pemerintahan Sultan-sultan Johor, seperti Sultan Alauddin Riayat Syah, Sultan Muzaffar Syah II, Sultan Abdul Jalil Syah I dan Sultan Ali Jalla.

Walaupun Laksamana Hang Nadim gagal menawan semula Kota Melaka sepanjang hayatnya, namun tugas ini akhirnya berjaya dilakukan oleh Laksamana Abdul Jamil dari Johor. Beliau akhirnya meninggal dunia dan dimakamkan di Bukit Bentan.

Isnin, 22 April 2019

BALAIRONG SERI ISTANA ABU BAKAR,1977

Sebagai sebuah persemayaman rasmi dan tempat berlangsungnya istiadat diraja, Istana Abu Bakar dilengkapi dengan pelbagai kemudahan tatkala siap dibina pada tahun1965, termasuklah sebuah Balairong Seri dan sebuah ruang santapan utama dinamakan Dewan Mulia.

Foto Balairong Seri ini dirakamkan di dalam tahun 1977, sempena Istiadat Permasyhuran Gelaran Tengku Mahkota Pahang, ke atas tubuh Tengku Mahkota Tengku Abdullah (kini Al-Sultan Abdullah).

Pemakaian gelaran tersebut disempurnakan oleh Paduka Ayahanda Baginda, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, di atas singgahsana yang terletak di bahagian tengah hadapan Balairong Seri ini, sambil disaksikan oleh bondanya, Tengku Ampuan Hajah Afzan. Pada hari Ahad, 23 Oktober 1977. 2 tahun sebelumnya, iaitu pada hari Khamis, 8 Mei 1975, di Balairong Seri ini jugalah Sultan Haji Ahmad Shah ditabalkan sebagai Sultan Pahang ke-5, menurut Peraturan Adat Istiadat Diraja Pahang.

Bahagian tengah Balairong Seri ini akan dikosongkan dalam Istiadat Kemangkatan, untuk menempatkan keranda diraja dan jenazah, bagi membolehkan orang kenamaan dan rakyat jelata memberikan penghormatan terakhir, seperti yang dilakukan semasa kemangkatan Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah (7 Mei 1974), Almarhumah Tengku Ampuan Besar Pahang, Raja Hajah Fatimah (23 Jun 1988) dan Almarhumah Tengku Ampuan Hajah Afzan (29 Jun 1988).

Ahad, 10 Mac 2019

SEMBILAN ORANG BENDAHARA KESULTANAN MELAYU MELAKA

Kemakmuran Melaka dalam abad ke-14 dan juga abad ke-15 amat bergantung kepada pembesar utama, yang dikenali sebagai Bendahara. Peranan jawatan ini amat penting dalam menentukan corak pentadbiran, perancangan ekonomi dan juga menentukan waris tahta Kesultanan Melaka itu berterusan. Terdapat 9 orang Bendahara yang wujud sebelum kejatuhan Kota Melaka kepada Portugis:

1. Tun Perpatih Tulus
2. Raden Bagus Bendahara Seri Wak Raja
3. Raden Anum Seri Amar Diraja
4. Tun Perpatih Sedang
5. Tun Ali Nara Diraja
6. Tun Perak Paduka Raja
7. Tun Perpatih Putih
8. Tun Mutahir
9. Bendahara Tepok Paduka Tuan

Mereka menjalankan tugas mengetuai pentadbiran negeri dan menasihati Sultan Melaka dalam pelbagai kes serta mengatur bakal waris kesultanan. Bendahara amat dihormati dalam pentadbiran Kesultanan Melaka. Taraf seorang Bendahara mengatasi taraf anak raja dan raja-raja dari negeri naungan Melaka.