"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Sabtu, 10 Mac 2018

TENGKU AMPUAN MARIAM MENASIHATKAN TENGKU ALI SUPAYA BERSABAR

Sewaktu Sultan Terengganu ke-14, Tengku (Sultan) Ali ibni Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1942-1945) dipaksa turun daripada tahta oleh kerajaan British pada tahun 1945, baginda telah berangkat menemui bondanya, Tengku Ampuan Mariam dan mengadu nasib yang menimpa diri baginda.
Tengku Ampuan Mariam, bekas Permaisuri Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920-1942) tidak dapat berbuat apa-apa, melainkan menyuruh puteranya itu bersabar menghadapi dugaan tersebut.
Menurut cerita orang-orang yang pernah bekerja di Istana Badariah, Tengku Ampuan Mariam amat bersedih kerana tidak berdaya untuk mempertahankan tahta puteranya itu. Tengku Ampuan Mariam sedar baginda tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi kerabat dan pembesar-pembesar Terengganu untuk mengembalikan Tengku Ali di atas tahta semula.
Ayahanda saudara Tengku Ali, Tengku Ismail dilantik sebagai Sultan Terengganu ke-15 pada 15 Disember 1945, menggunakan gelaran Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Tengku Ali mangkat pada 17 Mei 1996 dan dimakamkan di dalam kawasan Masjid Abidin, Kuala Terengganu.