"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 26 Mac 2017

KESUKAAN SEWAKTU HAYAT SULTAN ABDULLAH AL-MU’TASSIM BILLAH

Sewaktu hayat Almarhum, Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah ibni Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah mempunyai beberapa kesukaan yang agak luar biasa. Salah satu daripadanya ialah pelagaan ayam.

Menurut cerita orang-orang tua, Sultan Abdullah sanggup mengeluarkan wang yang banyak semata-mata untuk mendapatkan ayam laga yang dibeli dari negeri Kelantan dan Terengganu.
Selain itu, Sultan Abdullah turut mengikuti kesukaan ayahanda Almarhum, iaitu memburu binatang. Sultan Abdullah pernah mudik ke Pulau Ganchong, Pahang Tua untuk memburu kijang dan pelanduk. Almarhum juga gemar memikat burung dan unggas di udara. Di istana Almarhum pada masa itu dipenuhi dengan pelbagai jenis burung.

Satu kemestian kepada Sultan Abdullah ialah mengadakan permainan Melayu seperti pencak silat, lumba perahu dan menuba ikan di sungai pada setiap hari kebesaran Almarhum. Selain dari kesukaan itu, Almarhum Sultan Abdullah juga mempunyai sifat yang terpuji iaitu Almarhum sangat pemurah dengan rakyat.

Boleh dikatakan hampir setiap hari jika Almarhum ternampak orang berjalan di hadapan Istana Seri Terentang, Almarhum akan memanggil orang tersebut dan diberikan makanan dan minuman.