"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Isnin, 25 Mei 2015

NANING & SEJARAH RINGKAS


Naning ialah suatu kawasan di Utara Negeri Melaka. Bagaimanapun, ia merupakan salah satu negeri asal yang membentuk persekutuan Negeri Sembilan pada abad yang ke-16. Naning mula diteroka oleh orang Minangkabau yang berhijrah daripada Sumatera pada abad yang ke-13. Naning mengamalkan Adat Perpatih dan diperintah oleh seorang Penghulu yang dikenali sebagai Undang.

PENEROKA AWAL
Kumpulan keluarga yang mula-mula sampai dan meneroka Naning adalah seperti berikut :-
  1. Kumpulan keluarga Nan Bogajah Tunggal
  2. Kumpulan keluarga Semelenggang
  3. Kumpulan keluarga Tiga Batu
  4. Kumpulan keluarga Mungka
  5. Kumpulan keluarga Anak Melaka

ASAL USUL NAMA
Nama Naning dikatakan diambil bersempena satu sarang Naning (binatang penyengat yang bisa) bercorak kuning terus yang ditemui di atas pulau tiga buah sejanjar yang dikenali sebagai Pulau Galang Tiga Sejanjar yang terletak di sebuah paya di Taboh.

NANING JATUH KE TANGAN PENJAJAH
Naning telah jatuh ke tangan Syarikat Hindia Timur Inggeris pada bulan Jun 1832 apabila Taboh telah ditawan dan pasukan di bawah pimpinan Undang Naning ke-9, Dato' Abdul Said bin Omar @ Dol Said telah berundur setelah berlaku beberapa pertempuran dengan pihak Inggeris selama lebih kurang 2 bulan . Setelah itu Naning pun dimasukkan di bawah pentadbiran wilayah Melaka pada tahun 1833.

UNDANG NANING
Jawatan Penghulu atau Undang Naning dikatakan mula diwujudkan setelah Melaka diambil alih oleh Belanda daripada Portugis pada tahun 1641 dan Naning dikira termasuk di dalam pengaruh Belanda. Jawatan tersebut diwujudkan di atas cadangan pihak Belanda dan dipilih oleh penduduk Naning.