"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Jumaat, 6 Julai 2018

TENGKU HASSANAL DIISYTIHAR TENGKU PANGLIMA BESAR PAHANG

Putera sulung KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, diisytiharkan sebagai YAM Tengku Panglima Besar Pahang, berkuatkuasa 18 Jun 2018.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail berkata, pengisytiharan perlantikan tersebut mendapat perkenan daripada KDYMM Sultan Pahang. Sejajar dengan itu, gelaran atau panggilan hormat berkenaan adalah terpakai.
Sebelum ini, gelaran Tengku Panglima Besar Pahang disandang oleh Almarhum Tengku Ibrahim ibni Tengku Besar Sulaiman, yang mangkat pada 28 November 2017.

Rabu, 20 Jun 2018

AL-FATIHAH

إِنَّا اللهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Assalamualaikum wbt.
Dengan perasaan dukacitanya dimaklumkan bahawa Ahli Jumaah Pangkuan Diraja  Negeri Pahang, Orang Besar Berlapan, Yang Hormat Dato’ Setia Amar Segara, Dato’ Sri Haji Halim bin Haji Ibrahim telah kembali ke Rahmatullah di HUKM, kira-kira jam 8.50 malam tadi.

Allahyarham yang dikesan penyakit ‘Sarcoma Cancer’ pada tahap empat, tiga bulan lalu terpaksa menerima rawatan intensif di HUKM.

AL-FATIHAH

Khamis, 24 Mei 2018

AL-FATIHAH

إِنَّا اللهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Assalamualaikum wbt. 
Dengan dukacitanya dimaklumkan bahawa Ahli Jumaah Pangkuan Diraja  Negeri Pahang, Orang Besar Raja, Yang Hormat Tok Aria Rakna Dato’ Haji Abdul Murad bin Abdul Rani, DIMP., AAP., AMP., PJK., 78 tahun telah kembali ke Rahmatullah di kediamannya, kira-kira jam 04.30 pagi tadi.

AL-FATIHAH

Ahad, 8 April 2018

TENGKU PANGLIMA PERANG JUSOH


Tengku Jusoh merupakan putera kelapan kepada Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah. Almarhum diputerakan di Istana Rupa, Pekan Lama di dalam tahun 1885.

Almarhum merupakan salah seorang putera Sultan Ahmad yang paling menyerlah dan sangat berkebolehan, serta tinggi budi pekertinya. Atas sifat-sifatnya yang baik itu, Tengku Jusoh telah diberikan gelaran Tengku Panglima Perang Pahang yang pertama oleh ayahandanya.

Tengku Jusoh hidup di dalam zaman 4 orang Sultan, iaitu ayahandanya Sultan Ahmad (1863-1914), 2 orang kekandanya Sultan Mahmud (1914-1917), Sultan Abdullah (1917-1932) dan anakanda saudaranya, Sultan Abu Bakar (1932-1974).


Tengku Panglima Perang Tengku Jusoh telah mangkat di dalam tahun 1939 dan dimakamkan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang.

Isnin, 2 April 2018

SULTAN ABDUL JALIL MANGKAT DI KUALA PAHANG

Menurut Sejarah Pahang dari kajian Dr. W. Linehan, Sultan Abdul Jalil ibni Bendahara Tun Habib Abdul Majid yang dihantar ke Pahang telah dibunuh sewaktu baginda sedang bersembahyang Subuh di dalam perahu di Kuala Pahang, di dalam tahun 1720.

Menurut cerita, baginda dibunuh oleh Laksamana Cek Sekam, atas sebab membalas dendam.


Jenazah Sultan Abdul Jalil telah dibawa ke satu tempat bernama Tanjung Berunai dan disemadikan di situ. Disebabkan adanya Makam baginda di situ, tempat tersebut kemudiannya dipanggil Kampung Marhum.

Sultan Abdul Jalil merupakan putera sulung kepada Bendahara Johor ke-19, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid.


* Gambar Makam Sultan Abdul Jalil di atas diambil pada 12.02.2011

Selasa, 27 Mac 2018

BUKU SEJARAH NANING “TANAH BERKERAMAT PENGHULU BERDAULAT"

Naning merupakan sebuah wilayah yang cukup dikenali dalam sisi pandangan para pengkaji dan penggemar sejarah negara. Perkembangan sejarah Naning yang diolah oleh Belanda menyebabkan pentarikhan sejarah Naning dianggarkan wujud sekitar abad ke-17, sedangkan tarikh pembukaannya adalah sama dengan pemerintahan Sultan Muzafar Shah di Melaka.

Sejarah perkembangan kebudayaan di Naning merupakan titik permulaan kepada kelestarian Adat Perpatih dalam kalangan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Kedatangan Datuk Perpatih Nan Sebatang ke Naning sekaligus telah merubah lanskap geopolitik masyarakat tempatan dan berjaya meluaskan pengaruhnya hingga ke rantauan orang.

Penulisan ini membahaskan perkembangan sejarah Naning mengikut proses zaman dan melihat hubungannya dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Buku ini telah ditulis secara kritis dan membahaskan maklumat-maklumat yang pernah diguna pakai sarjana terdahulu dalam mengkaji sejarah Naning kerana berlakunya masalah kurang memahami sistem kebudayaan orang Naning secara praktikal. Justeru, buku ini bakal mengisi ruang lompang dalam institusi sejarah Naning berdasarkan hasil dapatan yang telah dianalisis secara emik dan praktik.

Bagi yang berminat mendapatkan buku Sejarah Naning “Tanah Berkeramat Penghulu Berdaulat” boleh berhubung dengan penulis buku ini, DPSS Luqman Nulhakim Harzamar.

Isnin, 19 Mac 2018

SULTAN HAJI AHMAD SHAH, KETURUNAN KESEMBILAN BENDAHARA ABDUL MAJID

Sultan Haji Ahmad Shah merupakan keturunan kesembilan Bendahara Tun Habib Abdul Majid.

Nasab keturunan baginda ialah Sultan Ahmad Shah ibni Sultan Abu Bakar ibni Sultan Abdullah ibni Sultan Ahmad ibni Bendahara Ali ibni Bendahara Koris ibni Tun Abdul Majid ibni Tun Abas ibni Sultan Abdul Jalil ibni Bendahara Seri Mahajara Tun Habib Abdul Majid.

Bendahara Tun Habib Abdul Majid merupakan Bendahara Johor yang ke-19.