"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Jumaat, 13 Mac 2015

MAKAM TENGKU BESAR SULAIMAN DI MAKAM DIRAJA PEKAN


Tengku Besar Pahang, Tengku Sulaiman ibni Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah mangkat di Istana Leban Tunggal, Kampung Parit Tengah, Pekan pada 16 Jun 1962, sewaktu berusia 78 tahun.


Jenazah Almarhum Tengku Besar Sulaiman telah disembahyangkan di Masjid Abdullah, sebelum disemadikan di Makam Diraja Pekan. Almarhum merupakan Kerabat Bergelar Negeri Pahang yang kedua disemadikan di makam diraja ini. Adinda Almarhum, Tengku Panglima Perang Muhammad merupakan kerabat bergelar yang pertama disemadikan di Makam Diraja Pekan, iaitu dalam tahun 1957


Tengku Besar Sulaiman merupakan putera keempat Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah. Almarhum diputerakan dalam tahun 1884.

Selasa, 10 Mac 2015

LEMBING DI ZAMAN ALMARHUM SULTAN AHMAD AL-MU’AZZAM SHAH


Salah satu alat-alat kebesaran Pahang yang pernah digunakan oleh Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah (1882-1914) ialah tujuh batang lembing, yang biasa digunakan oleh juak-juak istana sewaktu mengiringi keberangkatan Almarhum ke istana.

Setelah kemangkatan Sultan Ahmad dalam tahun 1914, lembing-lembing ini diwarisi oleh Sultan Mahmud. Bagaimanapun, lembing-lembing bersejarah ini tersimpan di Istana Seri Terentang dan tidak digunakan, kerana Almarhum Sultan Mahmud tidak pernah menggunakan juak-juak di zaman pemerintahan Almarhum (1914-1917).


Apabila Sultan Abdullah menaiki tahta pada 1917, jawatan juak-juak dihidupkan semula dan peranan lembing ini digunakan kembali di Istana Seri Terentang. Lembing-lembing yang berusia lebih satu abad ini kini tersimpan di Muzium Sultan Abu Bakar di Pekan.

Isnin, 23 Februari 2015

ISTANA NEGARA LAMA


Pemilik asal bangunan besar ini ialah seorang jutawan berketurunan Cina yang bernama Chan Wing. Rumah besar ini dibina dalam tahun 1928 dan siap dibina sepenuhnya dalam tahun 1933, sebagai kediaman beliau bersama 10 orang isteri dan 26 orang anak-anaknya. Keluarga jutawan ini menetap di rumah ini sehingga tahun 1941.

Keluarga jutawan ini terpaksa meninggalkan Malaya apabila Jepun mula menyerang dalam tahun 1941 dan rumah ini dijadikan sebagai Kediaman Rasmi Gabenor Jepun di Tanah Melayu. Selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, rumah ini telah diambil alih oleh kerajaan Inggeris dan dijadikan sebagai Mes Pegawai Kanan British berpangkat Brigedier Jeneral dan ke atas.

Tidak lama kemudian iaitu dalam tahun 1949, bangunan ini telah disewakan kepada kerajaan negeri Selangor untuk dijadikan sebagai Istana Sultan Selangor ketika itu, iaitu Sultan Hishamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah. Bagaimanapun, Sultan Hishamuddin Alam Shah tidak lama bersemayam di sini dan istana itu ditinggalkan tanpa dihuni secara tetap.

Pertabalan Tuanku Haji Ahmad Shah sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-VII (10 Julai 1980)

Pada tahun 1956, istana ini telah dibeli oleh Kerajaan Persekutuan dengan kos RM 1,408,000, untuk dijadikan sebagai istana rasmi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tanah Melayu yang pertama. Istana ini kekal sebagai istana rasmi Seri-Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Seri-Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dari tahun 1957 sehingga 2011.

Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah merupakan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang terakhir bersemayam di istana ini. Istana Negara yang baharu telah dibina di Jalan Duta, sebagai istana rasmi tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong negara Malaysia. Tuanku Abdul Halim Al-Mu'adzam Shah dan Tuanku Haminah menjadi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang pertama bersemayam di Istana Negara Jalan Duta.


Kini Istana Negara lama telah diubahsuai dan dijadikan sebagai Muzium Diraja yang dibuka secara rasmi kepada orang ramai mulai Februari 2013.

Khamis, 23 Oktober 2014

PENYANDANG GELARAN TENGKU MAHKOTA PAHANG

 

Tengku Mahkota Pahang yang pertama ialah Tengku Abu Bakar ibni Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah. Baginda merupakan putera Raja Pahang yang pertama memakai gelaran Tengku Mahkota. Sebelum itu, sewaktu Tengku Mahmud ibni Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah dilantik menjadi Pemangku Raja (1891),baginda memakai gelaran Tengku  Besar.




Tengku Mahkota Pahang yang kedua pula ialah Tengku Haji Ahmad Shah ibni Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah. Tengku Haji Ahmad Shah dikurniakan gelaran Tengku Mahkota Pahang pada 25 Mei 1944.




Tengku Mahkota Pahang yang ketiga ialah Tengku Abdullah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Tengku Abdullah telah ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Pahang pada 23 Oktober 1977.

Selasa, 14 Oktober 2014

SEJARAH MASJID ABDULLAH, PEKAN




Pada tahun 1928, Sultan Abdullah telah menitahkan supaya sebuah masjid baharu dibina di atas tapak masjid lama di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah, yang dirobohkan.


Masjid yang diperbuat daripada batu itu siap dibina dalam tahun 1930. Ia tersergam indah dan terletak berhampiran Istana Pantai, tempat bersemayam Sultan Abdullah. Menurut sejarah, Sultan Abdullah berkenan untuk merasmikan masjid tersebut. Tetapi malangnya, baginda jatuh gering pada masa itu. Putera baginda, Tengku Mahkota Abu Bakar telah merasmikan pembukaan masjid tersebut pada 8 Januari 1932 dan memberi nama Masjid Abdullah, sempena nama ayahanda baginda.

Masjid Abdullah dijadikan sebagai Masjid Rasmi bagi Bandar Diraja Pekan dan Sultan Abdullah semasa hayat Almarhum turut bersolat Jumaat dan berjemaah di masjid ini. Apabila Tengku Mahkota Abu Bakar menaiki tahta sebagai Sultan Pahang dalam tahun 1932, baginda juga meneruskan amalan ayahanda baginda itu.


Masjid Abdullah kekal menjadi masjid utama di Pekan sehingga tahun 1976, sebelum sebuah masjid baharu telah dibina bersebelahan dengan tapak Masjid Abdullah ini. Kini Masjid Abdullah sedang diubahsuai untuk dijadikan Muzium Islam

Rabu, 28 Mei 2014

SULTAN SIR ABU BAKAR DIKURNIAKAN PINGAT KEBESARAN KING GEORGE VI


Selepas ditabalkan sebagai Sultan Pahang di Istana Seri Terentang, Pekan pada 28 Mei 1933, Sultan Abu Bakar telah dikurniakan Bintang Kebesaran ‘Knight Grand Cross Of The Most Distinguished Order Of St. Micheal And St. George’ (G.C.M.G.), oleh Raja England, George VI.

Bintang Kebesaran G.C.M.G. itu disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Lawrence Guillemard, bagi pihak King George VI. Sultan Abu Bakar merupakan Sultan Pahang yang ketiga menerima anugerah kebesaran daripada Raja England itu.

Bintang Kebesaran G.C.M.G. itu membawa gelaran Sir.

Sabtu, 10 Mei 2014

TENGKU BESAR MAHMUD SEBAGAI WAKIL SULTAN AHMAD AL-MU'AZZAM SHAH DI SINGAPURA


Sultan Ahmad Al-Mu'azzam Shah jatuh gering dalam tahun 1891 dan tidak dapat menunaikan jemputan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Cecil Clementi. Baginda telah mewakilkan putera sulung baginda, Tengku Besar Mahmud untuk berangkat ke Singapura bagi menghadiri jemputan Gabenor tersebut.

Di Singapura, Tengku Besar Mahmud telah menginap selama beberapa hari di rumah kerajaan yang dikhaskan kepada tetamu-tetamu diraja itu. Turut sama berangkat ke Singapura ialah  Sultan Selangor; Sultan Abdul Samad, Sultan Perak; Sultan Idris dan Yamtuan Negeri Sembilan; Tuanku Muhammad Shah.