"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Khamis, 23 Oktober 2014

PENYANDANG GELARAN TENGKU MAHKOTA PAHANG

 

Tengku Mahkota Pahang yang pertama ialah Tengku Abu Bakar ibni Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah. Baginda merupakan putera Raja Pahang yang pertama memakai gelaran Tengku Mahkota. Sebelum itu, sewaktu Tengku Mahmud ibni Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah dilantik menjadi Pemangku Raja (1891),baginda memakai gelaran Tengku  Besar.




Tengku Mahkota Pahang yang kedua pula ialah Tengku Haji Ahmad Shah ibni Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah. Tengku Haji Ahmad Shah dikurniakan gelaran Tengku Mahkota Pahang pada 25 Mei 1944.




Tengku Mahkota Pahang yang ketiga ialah Tengku Abdullah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Tengku Abdullah telah ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Pahang pada 23 Oktober 1977.

Selasa, 14 Oktober 2014

SEJARAH MASJID ABDULLAH, PEKAN




Pada tahun 1928, Sultan Abdullah telah menitahkan supaya sebuah masjid baharu dibina di atas tapak masjid lama di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah, yang dirobohkan.


Masjid yang diperbuat daripada batu itu siap dibina dalam tahun 1930. Ia tersergam indah dan terletak berhampiran Istana Pantai, tempat bersemayam Sultan Abdullah. Menurut sejarah, Sultan Abdullah berkenan untuk merasmikan masjid tersebut. Tetapi malangnya, baginda jatuh gering pada masa itu. Putera baginda, Tengku Mahkota Abu Bakar telah merasmikan pembukaan masjid tersebut pada 8 Januari 1932 dan memberi nama Masjid Abdullah, sempena nama ayahanda baginda.

Masjid Abdullah dijadikan sebagai Masjid Rasmi bagi Bandar Diraja Pekan dan Sultan Abdullah semasa hayat Almarhum turut bersolat Jumaat dan berjemaah di masjid ini. Apabila Tengku Mahkota Abu Bakar menaiki tahta sebagai Sultan Pahang dalam tahun 1932, baginda juga meneruskan amalan ayahanda baginda itu.


Masjid Abdullah kekal menjadi masjid utama di Pekan sehingga tahun 1976, sebelum sebuah masjid baharu telah dibina bersebelahan dengan tapak Masjid Abdullah ini. Kini Masjid Abdullah sedang diubahsuai untuk dijadikan Muzium Islam

Rabu, 28 Mei 2014

SULTAN SIR ABU BAKAR DIKURNIAKAN PINGAT KEBESARAN KING GEORGE VI


Selepas ditabalkan sebagai Sultan Pahang di Istana Seri Terentang, Pekan pada 28 Mei 1933, Sultan Abu Bakar telah dikurniakan Bintang Kebesaran ‘Knight Grand Cross Of The Most Distinguished Order Of St. Micheal And St. George’ (G.C.M.G.), oleh Raja England, George VI.

Bintang Kebesaran G.C.M.G. itu disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Lawrence Guillemard, bagi pihak King George VI. Sultan Abu Bakar merupakan Sultan Pahang yang ketiga menerima anugerah kebesaran daripada Raja England itu.

Bintang Kebesaran G.C.M.G. itu membawa gelaran Sir.

Sabtu, 10 Mei 2014

TENGKU BESAR MAHMUD SEBAGAI WAKIL SULTAN AHMAD AL-MU'AZZAM SHAH DI SINGAPURA


Sultan Ahmad Al-Mu'azzam Shah jatuh gering dalam tahun 1891 dan tidak dapat menunaikan jemputan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Cecil Clementi. Baginda telah mewakilkan putera sulung baginda, Tengku Besar Mahmud untuk berangkat ke Singapura bagi menghadiri jemputan Gabenor tersebut.

Di Singapura, Tengku Besar Mahmud telah menginap selama beberapa hari di rumah kerajaan yang dikhaskan kepada tetamu-tetamu diraja itu. Turut sama berangkat ke Singapura ialah  Sultan Selangor; Sultan Abdul Samad, Sultan Perak; Sultan Idris dan Yamtuan Negeri Sembilan; Tuanku Muhammad Shah.

TENGKU SULAIMAN, PUTERA SULTAN AHMAD PERTAMA BERSEKOLAH

Tiga putera Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah iaitu Tengku Mahmud, Tengku Ali dan Tengku Abdullah tidak berpeluang bersekolah, kerana pada zaman tersebut sekolah masih belum wujud lagi.

Bagaimanapun, putera keempat baginda iaitu Tengku Sulaiman yang diputerakan dalam tahun 1884, sangat bertuah kerana secara kebetulan sewaktu berusia 7 tahun, sekolah belajar menulis dan membaca mulai dibuka di negeri Pahang. Tengku Sulaiman menjadi putera Sultan Pahang yang pertama tahu menulis dan membaca, diikuti oleh adinda-adindanya; Tengku Jusoh, Tengku Omar, Tengku Kelsom, Tengku Mariam dan Tengku Muhammad.

Putera bongsu Sultan Ahmad iaitu Tengku Muhammad menjadi putera Sultan Pahang yang pertama belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Khamis, 8 Mei 2014

TENGKU MARIAM, PUTERI SULUNG SULTAN ABU BAKAR JOHOR


Tengku Mariam telah diputerikan pada 21 Disember 1871, di Istana Besar, Johor Bahru. Tengku Mariam merupakan puteri sulung kepada Sultan Abu Bakar Johor (1862-1895). Bondanya ialah Sultanah Fatimah.

Sebagai seorang puteri raja, Tengku Mariam membesar dalam kemewahan. Almarhumah dididik dan diasuh dengan penuh kasih sayang. Seorang wanita Inggeris telah ditugaskan mengajar Almarhumah sejak kecil lagi. Sewaktu ayahandanya mangkat pada tahun 1895, Tengku Mariam baru berusia 24 tahun.

Pada tahun 1897, Tengku Mariam telah berkahwin dengan Tengku Besar Pahang, Tengku Mahmud ibni Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah. Bagaimanapun, perkahwinan bahagia itu tidak dikurniakan zuriat.

Apabila Sultan Mahmud mangkat pada tahun 1917, Tengku Mariam pulang ke Johor dan mangkat pada 25 Oktober 1952 dan disemadikan di Makam Diraja Johor.

TENGKU MARIAM, PUTERI BONGSU SULTAN AHMAD AL-MU’AZZAM SHAH


Tengku Mariam telah diputerikan di istana ayahandanya di Pekan, dalam tahun 1898. Almarhumah merupakan anakanda ke 11 daripada 12 orang putera dan puteri Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah.



Tengku Mariam membesar di istana ayahandanya di Pekan. Belajar mengaji di istana dan bersekolah di Sekolah Melayu Pekan, mulai tahun 1905. Sebagai puteri bongsu, Tengku Mariam amat dikasihi oleh ayahanda dan bondanya. Tengku Mariam juga sangat dikasihi oleh kekanda-kekandanya Tengku Long, Tengku Mahmud, Tengku Dalam, Tengku Ali dan Tengku Abdullah.



Pada 21 Julai 1913, Tengku Mariam telah bertemu jodoh dengan Tengku Muda Sulaiman, putera Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu. Tengku Mariam telah ditabalkan sebagai Tengku Ampuan Terengganu pada 3 Mac 1921, sewaktu berusia 23 tahun dan bersemayam di Istana Maziah.



Tengku Mariam mangkat pada 12 Disember 1975, sewaktu berusia 77 tahun dan disemadikan di dalam kubah Masjid Abidin, Kuala Terengganu.