"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 15 Januari 2019

KENYATAAN MEDIA PEJABAT KDYMM SULTAN PAHANG

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN PAHANG DARUL MAKMUR

بِسْـــــــــمِ اَللّهِ الرّحْمن الرّحيم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Mulai hari Selasa, 15 Januari 2019 bersamaan 9 Jamadilawal 1440 Hijrah, nama dan gelaran rasmi bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang ke-6 ialah :

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN PAHANG,
AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH

Ianya membawa maksud :

SULTAN ABDULLAH PEMBELA AGAMA YANG TERPILIH OLEH ALLAH

وبالله التوفق والهدية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته



SETIAUSAHA SULIT KEPADA
KDYMM SULTAN PAHANG

Termaktub     : Pejabat KDYMM Sultan Pahang
                        Pekan, Pahang
Pada             : 15 Januari 2019

DAULAT TUANKU


بِسْـــــــــمِ اَللّهِ الرّحْمن الرّحيم

الحمد لله ربّ العالمين
وبه نستعين

Tok Bentara Mangkubumi - Blog dengan ini Merafak Sembah Ucapan Setinggi Tinggi Tahniah di atas Permasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sebagai Sultan dan Raja Pemerintah bagi Negeri Pahang dan segala Jajahan Takluknya.

Patik mendoakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah agar sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT dan bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh Kedaulatan, Hidayah dan Syariat Ilahi.

اَللّٰهُ أَكْبَر‎
اَللّٰهُ أَكْبَر‎
اَللّٰهُ أَكْبَر‎

DAULAT TUANKU!
DAULAT TUANKU!
DAULAT TUANKU!

TOK BENTARA MANGKUBUMI - BLOG
15 Januari 2019

Ahad, 13 Januari 2019

MERAFAK SEMBAH & MENJUNJUNG KASIH

بسم الله الرحمن الرحيم

Merafak sembah dan menjunjung kasih di atas permasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Abdullah al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah sebagai Paduka Seri Sultan dan Raja Pemerintah bagi Negeri Pahang dan segala Jajahan Takluknya. Semoga Tuanku diberikan petunjuk dalam memerintah Negeri ini dan seterusnya menjadikan Negeri ini sebuah negeri yang diberkati dan diampuni Tuhan.

Menjunjung kasih juga kepada Paduka Ayahnda Seri Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri'ayatuddin Mu'adzam Shah kerana dengan kebijaksanaan dan kerelaan hati telah menyerahkan tampuk pemerintahan negeri ini kepada Paduka Seri Sultan yang baharu setelah menjadi Sultan dan Raja Pemerintah yang menaungi kami selama 45 tahun. Allah sahajalah yang membalas segala kebaikan yang telah Paduka Seri lakukan.

Semoga Allah merahmati dan memberkati pemerintahan Paduka Seri Sultan Pahang yang baharu ini, menjadikan negeri Pahang ini Aman dan Makmur, dan rakyatnya bersatu padu, harmoni dan saling menghormati.

Semoga Allah menjadikan Negeri ini sebuah negeri yang menggunakan hasil buminya dengan telus dan amanah, memberi nikmat dan kebaikan kepada rakyatnya, dalam pemerintahan Paduka Seri Sultan Pahang yang baharu.

Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!

قال تعالى:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ(3:26

Sabtu, 12 Januari 2019

SIDANG MEDIA PERMASYHURAN SULTAN PAHANG KE-6

SIDANG MEDIA YAM TENGKU MUDA PAHANG, TENGKU ABDUL RAHMAN AL-HAJ IBNI SULTAN AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH
12 Jan 2019 (Sabtu)
Bilik Menghadap Utama, Istana Abu Bakar, Pekan.

Memaklumkan keputusan Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang  yang dipengerusikan oleh YAM Tengku Muda Pahang telah meluluskan Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang seperti berikut:-
 "Pindaan terhadap Undang2 Tubuh Kerajaan Pahang bagi masukkan peruntukan baru iaitu Perkara 9A ke dalam Bahagian 1 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi membolehkan seseorang Sultan diturunkan tahta atas sebab kegeringan yang besar dan berat".

Keputusan mesyuarat telah membuat keputusan memilih KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj  sebagai Sultan Pahang ke-6 berkuatkuasa hari ini, 12 Jan 2019.

YAM Tengku Muda Pahang turut memaklumkan :
- Istiadat  Pemasyhuran KDYMM Sultan Pahang ke-6 akan berlangsung pada 15 Jan 2019 pada pukul 11 pagi di Balairong Seri, Istana Abu Bakar, Pekan.

- KDYTM Tengku Puan Pahang akan dimasyhurkan sebagai KDYMM Tengku Ampuan Pahang.

- Mulai hari ini, gelaran bagi Sultan Haji Ahmad Shah telah dicadang dan diperkenankan oleh KDYMM Pemangku Raja sebagai Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah.

- Manakala gelaran Sultanah Pahang ialah DYAM Sultanah Kalsom.

- Istiadat Pertabalan Sultan Pahang ke-6 akan diadakan dalam tempoh setahun pemerintahan baginda.

DAULAT TUANKU
DIRGAHAYU TUANKU

Selasa, 11 Disember 2018

BERMULANYA PEMAKAIAN GELARAN SULTAN DI NEGERI PAHANG

Memang asalnya pemerintahan negeri Pahang adalah secara pemerintahan beraja, dengan keturunan Raja-Raja Melaka yang paling lama berkuasa; lebih 200 tahun iaitu sejak Sultan Muhammad Shah (1469 – 1475), hinggalah kepada Sultan Mahmud Shah yang terkenal dalam sejarah sebagai ‘Sultan Mahmud Mangkat Dijulang’ (pada tahun 1699).

Selepas itu, pemerintahan negeri berpindah kepada keturunan Bendahara Tun Habib Abdul Majid, Bendahara Padang Saujana Johor, dengan pemerintah memakai gelaran Bendahara sejak daripada itu (kecuali semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil). Selepas Bendahara Tun Habib Abdul Majid ialah Sultan Abdul Jalil, kemudiannya Bendahara-bendahara lain seperti Bendahara Abas, Bendahara Abdul Majid, Bendahara Koris, Bendahara Ali, Bendahara Tun Mutahir dan Bendahara Siwa Raja, atau asalnya bernama  Tun Ahmad (Wan Ahmad), adinda kepada Tun Mutahir.

Bendahara Siwa Raja kemudiannya menukarkan gelaran kepada Sultan, dengan mengambil nama Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah, Sultan Pahang I. Sejak itu, bermulalah pemerintahan negeri dengan ketua pemerintahnya menggunakan gelaran Sultan, hinggalah ke hari ini. Menurut buku ‘Singgahsana Negeri Pahang Darul Makmur’, pertukaran gelaran daripada Bendahara kepada Sultan berasal daripada cadangan Yang Mulia Sultan Abu Bakar Johor kepada Bendahara Siwa Raja, semasa Dato’ Bendahara itu berkunjung ke Johor.

“Yang Mulia Sultan Abu Bakar telah mencadangkan kepada Dato’ Bendahara itu supaya memakai gelaran Sultan ganti gelaran Bendahara, dengan alasan yang negeri Pahang itu tidak lagi berhubung dan takluk ke Daik bagaimana dahulu. Tambahan pula negeri itu telah diperintah oleh kerajaan Belanda. Dato’ Bendahara telah bersenda kepada Sultan Johor itu mengatakan Orang Besar Pahang telahpun memajukan cadangan itu kepadanya dahulu, tetapi belum dibulatkan lagi persetujuan itu. Sultan Johor yang mendengar senda itu telah menguatkan lagi cadangan dan menasihatkan Dato’ Bendahara itu supaya menurut akan persetujuan Orang-Orang Besar Pahang itu.”

“Setelah balik Dato’ Bendahara itu ke Pahang daripada perangkatan ke Johor itu, maka di dalam satu majlis pengadapan Orang Besar Negeri Pahang yang kanan dan berkuasa telah mendatangkan sembah memohon Dato’ Bendahara itu memakai gelaran Yang Maha Mulia Sultan. Persembahan itu telah diterima. Maka di dalam suatu istiadat, Dato’ Bendahara itu digelarlah oleh Orang Besarnya dengan nama Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah dan isterinya Cik Puan Bongsu diberi gelaran Yang Maha Mulia Tengku Ampuan. Manakala, putera-putera dan puteri-puteri yang memakai gelaran Tun diganti kepada gelaran Tengku”.

Ahad, 9 Disember 2018

MENTERI BESAR DI BAWAH PEMERINTAHAN SULTAN HAJI AHMAD SHAH

Seramai 8 orang Menteri Besar Pahang yang pernah berkhidmat di bawah pemerintahan KDYMM Sultan Pahang ke-5, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, sehingga kini.

Dato’ Kurnia Bistari Haji Abdul Aziz bin Ahmad
Menteri Besar Pahang ke-8 (1 September 1972 – 31 Ogos 1974)

Dato’ Seri Mohamad bin Jusoh
Menteri Besar Pahang ke-9 (1 September 1974 – 18 Julai 1978)

Dato’ Abdul Rahim bin Abu Bakar
Menteri Besar Pahang ke-10 (19 Julai 1978 – 17 November 1981)

Dato’ Abdul Rashid bin Abdul Rahman
Menteri Besar Pahang ke-11 (17 November 1981 – 4 Mei 1982)

Orang Kaya Indera Shahbandar, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Menteri Besar Pahang ke-12 (5 Mei 1982 – 13 Ogos 1986)

Tan Sri Mohd Khalil bin Yaakob
Menteri Besar Pahang ke-13 (14 Ogos 1986 – 25 Mei 1999)

Dato’ Seri Diraja Adnan bin Yaakob
Menteri Besar Pahang ke-14 (22 Mei 1999 – 14 Mei 2018)

Dato’ Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang ke-15 (15 Mei 2018 – sekarang)

Ahad, 2 Disember 2018

DATO’ ABDUL RAZAK, DATO’ SETIA SELANGOR

Dato’ Abdul Razak bin Haji Abdul Ghani adalah Dato’ Setia Selangor. Beliau dilahirkan di Singapura pada tahun 1869 dan mendapat pendidikan awal di Raffles School, Singapura. Beliau kemudiannya berpindah ke Sabak Bernam, Selangor, di mana beliau menjadi ‘Mata-Mata Laut’ (Polis Marin).

Pada ketika itu, Sultan Selangor ialah Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa. Baginda berkenan akan Dato’ Abdul Razak dan menitahkan beliau datang ke Bandar Diraja Klang. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Peribadi Tuanku Sultan Selangor di dalam tahun 1907, pada usia 39 tahun.

Beliau berkhidmat sebagai Penghulu dan menjadi Majistret Melayu pertama di negeri Selangor dan juga Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor pada ketika itu. Kemudiannya, Dato’ Abdul Razak dianugerahkan gelaran Dato’ Setia Selangor.

Dato’ Abdul Razak berkahwin dengan Datin Saleha Yaacob dan dikurniakan dengan 15 orang cahaya mata, iaitu 10 lelaki dan 5 perempuan. Antara anak beliau ialah Dr. Abdul Latiff, Doktor Melayu Pertama dan Dato’ Yahya, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Kuala Lumpur.

Dato’ Abdul Razak disahkan menghidap penyakit radang paru-paru (pneumonia). Di penghujung hayat, Sultan Alaeddin Sulaiman Shah telah mencemar duli berangkat menziarahi beliau. Walaupun di dalam keuzuran, beliau cuba bangkit dan menyambut keberangkatan tiba Tuanku Sultan dan berkata, “Tuanku, patik nak ambil cuti panjang”. Tuanku Sultan Alaeddin sangat tersentuh dan kemudiannya bertitah, “Setia sampai sudah”.

Dato’ Abdul Razak meninggal dunia di dalam tahun 1938, pada usia 69 tahun.

* Seperti mana yang pernah diceritakan oleh Allahyarham Idham Mustafa (1961-2014), Cicit Allahyarham Dato’ Setia Abdul Razak