"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Isnin, 13 Ogos 2018

YAM TENGKU ARIF BENDAHARA PAHANG MANGKAT

Assalamualaikum wbt.
Dengan perasaan dukacitanya dimaklumkan bahawa Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Tan Sri Abdullah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar telah mangkat sebentar tadi, di Hospital Gleneagles Ampang dan akan dibawa pulang ke kediaman Almarhum di Kuala Lumpur untuk urusan jenazah. Kemudiannya akan dibawa ke Pekan menaiki pasawat TUDM, untuk istiadat pemakaman di Makam Diraja Pekan.

AL-FATIHAH

Khamis, 2 Ogos 2018

TENGKU HASSANAL ANGKAT SUMPAH SEBAGAI AHLI JUMAAH PANGKUAN DIRAJA NEGERI PAHANG

Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah mengangkat sumpah sebagai Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang baharu, pada 02 Ogos 2018.


Majlis Angkat Sumpah ini berlangsung di hadapan KDYMM Pemangku Raja Pahang, yang juga Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang, di Bilik Mesyuarat Utama MUIP, Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan.


YAM Tengku Hassanal dilantik menganggotai Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang, susulan KDYMM Sultan Pahang telah mengampuni perkenan mengurniakan gelaran Kerabat Bergelar yang membawa gelaran Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, ke atas tubuh cucunda Baginda, berkuatkuasa pada 18 Jun 2018.


Selepas Majlis Angkat Sumpah tersebut selesai, telah diadakan Mesyuarat Jumaah Pangkuan Pangkuan Diraja Negeri Pahang, ke-108, yang dihadiri 31 orang Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang.


Jumaat, 6 Julai 2018

TENGKU HASSANAL DIISYTIHAR TENGKU PANGLIMA BESAR PAHANG

Putera sulung KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, diisytiharkan sebagai YAM Tengku Panglima Besar Pahang, berkuatkuasa 18 Jun 2018.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail berkata, pengisytiharan perlantikan tersebut mendapat perkenan daripada KDYMM Sultan Pahang. Sejajar dengan itu, gelaran atau panggilan hormat berkenaan adalah terpakai.
Sebelum ini, gelaran Tengku Panglima Besar Pahang disandang oleh Almarhum Tengku Ibrahim ibni Tengku Besar Sulaiman, yang mangkat pada 28 November 2017.

Rabu, 20 Jun 2018

AL-FATIHAH

إِنَّا اللهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Assalamualaikum wbt.
Dengan perasaan dukacitanya dimaklumkan bahawa Ahli Jumaah Pangkuan Diraja  Negeri Pahang, Orang Besar Berlapan, Yang Hormat Dato’ Setia Amar Segara, Dato’ Sri Haji Halim bin Haji Ibrahim telah kembali ke Rahmatullah di HUKM, kira-kira jam 8.50 malam tadi.

Allahyarham yang dikesan penyakit ‘Sarcoma Cancer’ pada tahap empat, tiga bulan lalu terpaksa menerima rawatan intensif di HUKM.

AL-FATIHAH

Khamis, 24 Mei 2018

AL-FATIHAH

إِنَّا اللهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Assalamualaikum wbt. 
Dengan dukacitanya dimaklumkan bahawa Ahli Jumaah Pangkuan Diraja  Negeri Pahang, Orang Besar Raja, Yang Hormat Tok Aria Rakna Dato’ Haji Abdul Murad bin Abdul Rani, DIMP., AAP., AMP., PJK., 78 tahun telah kembali ke Rahmatullah di kediamannya, kira-kira jam 04.30 pagi tadi.

AL-FATIHAH

Ahad, 8 April 2018

TENGKU PANGLIMA PERANG JUSOH


Tengku Jusoh merupakan putera kelapan kepada Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah. Almarhum diputerakan di Istana Rupa, Pekan Lama di dalam tahun 1885.

Almarhum merupakan salah seorang putera Sultan Ahmad yang paling menyerlah dan sangat berkebolehan, serta tinggi budi pekertinya. Atas sifat-sifatnya yang baik itu, Tengku Jusoh telah diberikan gelaran Tengku Panglima Perang Pahang yang pertama oleh ayahandanya.

Tengku Jusoh hidup di dalam zaman 4 orang Sultan, iaitu ayahandanya Sultan Ahmad (1863-1914), 2 orang kekandanya Sultan Mahmud (1914-1917), Sultan Abdullah (1917-1932) dan anakanda saudaranya, Sultan Abu Bakar (1932-1974).


Tengku Panglima Perang Tengku Jusoh telah mangkat di dalam tahun 1939 dan dimakamkan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang.

Isnin, 2 April 2018

SULTAN ABDUL JALIL MANGKAT DI KUALA PAHANG

Menurut Sejarah Pahang dari kajian Dr. W. Linehan, Sultan Abdul Jalil ibni Bendahara Tun Habib Abdul Majid yang dihantar ke Pahang telah dibunuh sewaktu baginda sedang bersembahyang Subuh di dalam perahu di Kuala Pahang, di dalam tahun 1720.

Menurut cerita, baginda dibunuh oleh Laksamana Cek Sekam, atas sebab membalas dendam.


Jenazah Sultan Abdul Jalil telah dibawa ke satu tempat bernama Tanjung Berunai dan disemadikan di situ. Disebabkan adanya Makam baginda di situ, tempat tersebut kemudiannya dipanggil Kampung Marhum.

Sultan Abdul Jalil merupakan putera sulung kepada Bendahara Johor ke-19, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid.


* Gambar Makam Sultan Abdul Jalil di atas diambil pada 12.02.2011