"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 5 Februari 2017

PEMANGKU RAJA PAHANG ZIARAHI MAKAM TOK MUDA TENGKU RAZMAN SHAH

KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan mencemar duli menziarahi Makam Almarhum Tok Muda Tengku Dato’ Haji Razman Shah bin Tengku Arif Temenggong Ahmad.
 
Keberangkatan tiba KDYMM Pemangku Raja Pahang pada petang Ahad, 05 Februari 2017 disambut oleh YH Dato’ Setia Perkasa Pahang, YM Tengku Dato’ Sri Zulkifly bin Tengku Arif Temenggong Ahmad dan kaum kerabat Almarhum yang lain.
 
KDYMM Pemangku Raja Pahang juga turut berkenan bertahlil dan menyiram air mawar di makam Almarhum Tok Muda Tengku Dato’ Haji Razman Shah.













  
* Foto disumbangkan oleh YBhg. Dato' Shamsul Zumir bin Tok Muda Shahrir (Zoom) & Datin Lynn Adam.

Sabtu, 4 Februari 2017

JENAZAH TOK MUDA TENGKU DATO' RAZMAN SHAH SELAMAT DISEMADIKAN

Jenazah Orang Besar Enam Belas Pahang, YM Tok Muda Tengku Dato' Haji Razman Shah bin Tengku Arif Temenggong Ahmad, yang mangkat pada petang Jumaat, 03 Februari 2017, telah selamat disemadikan di Makam Diraja Pekan.
Jenazah Almarhum dibawa dari kediaman adindanya, Dato' Setia Perkasa Pahang, YM Tengku Dato' Sri Zulkifly di Taman Telok Chempedak, Kuantan dan jenazah disembahyangkan di Masjid Lama Pekan.
Jenazah Almarhum kemudiannya disemadikan berhampiran Makam Ayahandanya, Almarhum Tengku Arif Temenggong Ahmad ibni Almarhum Sultan Abdullah, di Makam Diraja Pekan, kira-kira jam 11 pagi, 04 Februari 2017.















AL-FATIHAH

YM TOK MUDA TENGKU DATO' HAJI RAZMAN SHAH BIN TENGKU ARIF TEMENGGONG AHMAD
(06 Oktober 1953 - 03 Februari 2017)

Orang Besar Enam Belas Pahang, YM Tok Muda Tengku Dato' Haji Razman Shah bin Tengku Arif Temenggong Ahmad telah mangkat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, pada hari Jumaat 03 Februari 2017, jam 0651 petang.

YM Tok Muda Tengku Dato' Haji Razman Shah adalah anakanda sulung kepada Almarhum Tengku Arif Temenggong Pahang II, Tengku Ahmad ibni Sultan Abdullah dan Cik Puan Kechil Tala'ah binti Haji Sulaiman; dan merupakan sepupu kepada KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Jenazah Almarhum dibawa pulang ke kediaman adindanya, Dato' Setia Perkasa Pahang, YM Tengku Dato' Sri Zulkifly di Taman Telok Chempedak dan akan dikebumikan di Makam Diraja Pekan pada jam 11 pagi, 04 Februari 2017.

Semuga Allah mencucuri Rahmat ke atas roh Almarhum. Al-Fatihah.





Sabtu, 24 Disember 2016

Bendera Peribadi KDYMM Pemangku Raja Pahang Berkibar Di Istana Abdulaziz

Bendera Peribadi KDYMM Pemangku Raja Pahang berkibar di Istana Abdulaziz bagi mengantikan bendera peribadi KDYTM Tengku Mahkota Pahang.

KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah memulakan tugas sebagai Pemangku Raja Pahang bermula 12 Dis 2016.

"DIRGAHAYU TUANKU"

Ahad, 11 Disember 2016

SIFAT DAN BUDI PEKERTI ALMARHUM SULTAN ABU BAKAR

Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah memiliki budi pekerti dan sifat-sifat mulia yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang.

Menurut cerita orang-orang tua, Almarhum Sultan Abu Bakar merupakan seorang Sultan yang sangat berhemah tinggi, mudah menghulurkan pertolongan dan selalu mengeluarkan tuturkata yang ramah dan mesra. Almarhum juga merupakan seorang yang sangat menepati janji dan sentiasa berpegang kepada janji yang telah dibuat.

Selain itu, Almarhum juga seorang Sultan yang mempunyai hati yang cekal dan sabar. Ketika zaman pemerintahan Jepun, Almarhum sentiasa tenang dan sabar menghadapi segala kesusahan.

Almarhum juga sentiasa mengutamakan keluarga, terutamanya sewaktu bersantap. Almarhum tidak akan santap melainkan secara beramai-ramai. Almarhum juga mempunyai ramai sahabat dan kenalan dari berbilang bangsa, di dalam dan di luar negara.
Kemangkatan Almarhum pada 5 Mei 1974 merupakan satu kehilangan yang besar kepada negeri Pahang dan Malaysia keseluruhannya.

Sabtu, 10 Disember 2016

PERSIDANGAN PERTAMA MEMBABITKAN SEMBILAN ORANG RAJA-RAJA MELAYU

Sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani di King House, Kuala Lumpur dalam tahun 1948, Sembilan orang Raja-Raja Melayu telah diberi penerangan sejelas-jelasnya kerana sebahagian daripada mereka pernah terpedaya dengan muslihat Harold Mc Micheal dalam peristiwa penubuhan Malayan Union pada tahun 1946.

Persidangan pertama yang dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu itu dianggap sangat bersejarah keranan ia merupakan yang pertama kali, sembilan orang Raja-Raja Melayu bertemu dalam satu majlis besar sebelum menurunkan tandatangan masing-masing bagi pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.

Khamis, 8 Disember 2016

SELAMAT HARI KEPUTERAAN YAM TENGKU PANGLIMA PERANG PAHANG

Sembah Tahniah Sempena Hari Ulangtahun Keputeraan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Pahang
Tengku Abdul Aziz ibni Almarhum Sultan Abu Bakar
SSAP., SIMP., DSAP.