"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Isnin, 8 September 2025

RATU ELIZABETH II DAN TUNKU AMPUAN NAJIHAH MANGKAT PADA TARIKH YANG SAMA

Pada 8 September 2022, dunia dikejutkan dengan berita kemangkatan Ratu Elizabeth II. Baginda telah mangkat di Istana Balmoral, Scotland. Kira-kira dua hari sebelum itu, Baginda melantik Perdana Menteri Britain yang baharu, Liz Truss.

Baginda Ratu mangkat pada usia 96 tahun, setelah memerintah selama 70 tahun dan 214 hari. Baginda Ratu merupakanRaja British’ yang paling lama memerintah, iaitu dari 6 Februari 1952 sehingga kemangkatannya pada 8 September 2022.

Genap setahun kemudian, negara Malaysia dikhabarkan pula dengan berita kemangkatan Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Najihah binti Tunku Besar Burhanuddin. Tunku Ampuan Najihah telah mangkat pada hari Jumaat 8 September 2023, jam 6.53 pagi, di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur.

Tuanku Najihah merupakan suri kepada Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10. Jenazah Almarhumah telah dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti, Kuala Pilah, bersebelahan dengan Makam Almarhum Tuanku Ja’afar. Kira-kira seminggu sebelum itu, iaitu pada 1 September 2023 Almarhumah Tunku Ampuan Najihah baru sahaja menyambut ulangtahun hari keputeraan yang ke-100.