Pada pagi Jumaat 29 Ogos 2025, telah berlangsung Istiadat Mengadap Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz oleh Dato’-Dato Lembaga Luak Rembau. Istiadat ini telah berlangsung di Istana Besar Seri Menanti.
Istiadat Mengadap YAM Tunku Besar Seri Menanti ini adalah bertujuan bagi memohon mendapatkan tarikh Istiadat Mengadap Menjunjung Duli DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Bagi Menyempurnakan Kejadian YTM Dato Sedia Raja, Haji Abdul Rahim Bin Haji Yasin sebagai Penyandang Pusaka Dato Undang Luak Rembau Yang Ke-22.
Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin telah diiringi oleh Yang Mulia Tunku Kecil Muda, Tunku Mahmood bin Tunku Muhyidin. Turut mengiringi ialah YM Orang Besar Istana Yang Empat, YM Datuk Amar Diraja, Nor Azmi bin Hashim; YM Datuk Raja Diwangsa, Maulud bin Kahar; YM Datuk Penghulu Dagang, Mohamad bin Zakaria; dan YM Datuk Akhir Zaman, Razali Bin Samad.
Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau pula diketuai oleh YM Dato Perba Haji Abdul Razak bin Mohd Yassin, Dato’ Lembaga Biduanda Waris Nan Dua Carak. Turut serta, YM Dato’ Merbangsa Azmi bin Haji Ahmad, Dato’ Lembaga Tiang Balai di Baruh; YM Dato’ Mendelika Haji Ab Hamid bin Abdul Malik, Dato’ Lembaga Tiang Balai di Darat; dan YM Dato’ Orang Kaya Muda Mustapa Fadzir Bin Eusope, Buapak Kampung Pulau.
Di dalam istiadat ini, YAM Tunku Besar Seri Menanti telah menzahirkan ketetapan tarikh bagi Istiadat Mengadap Menjunjung Duli ini ialah pada hari Khamis, 18 September 2025.