"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Ahad, 17 Julai 2016

JUMAAH PANGKUAN DIRAJA NEGERI PAHANG

Bab 5 Bahagian 1 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang memperuntukkan mengenai Jumaah Pangkuan Diraja Negeri. Pada peringkat awal penubuhannya, ia dinamakan sebagai Jumaah Pangkuan Negeri Pahang. Kemudian, dalam tahun 2011 namanya diubah menjadi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri.

Pembentukan badan ini dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang. Ahli-ahli yang dilantik terdiri daripada Waris Ganti, Kerabat-Kerabat Bergelar, Kerabat-Kerabat yang tidak bergelar,  Orang-Orang Besar (Orang Besar Berempat, Orang Besar Berlapan dan Orang Besar Enam Belas), Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Mufti Kerajaan Negeri, Penghulu (dua dari Hulu dan dua dari Hilir Negeri), Orang Besar Raja, Dato' Yang Kehormat, seorang yang telah dikurniakan dengan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Dimulia Peringkat Pertama (S.S.A.P.), dan seorang yang telah dikurniakan dengan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Pertama, Sri Indera Mahkota Pahang (S.I.M.P.) yang berjumlah 46 orang. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah merupakan Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri.

Ahli-ahli Jumaah akan bertanggungjawab dalam semua adat istiadat Diraja di Balairong Seri atau pun di Istana seperti Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur, Majlis Perkahwinan Diraja, Majlis Santapan Diraja serta majlis-majlis yang melibatkan Sultan. Selain itu juga, badan ini turut membincangkan topik berkenaan kedudukan Bangsa Melayu dan Agama Islam bagi memastikan kedua-dua komponen itu sentiasa terpelihara dan dihormati.