"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 17 Jun 2025

3 PEGAWAI KANAN KERAJAAN DILANTIK AHLI JUMAAH PANGKUAN DIRAJA NEGERI PAHANG YANG BAHARU

Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali ke-119 telah berlangsung pada 17 Jun 2025, di Hotel Grand Darulmakmur, Kuantan. Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja ini telah dipengerusikan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada Mesyuarat tersebut, tiga orang Pegawai Kanan Kerajaan Negeri telah dilantik menjadi Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang baharu. Tiga individu berkenaan ialah YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Indera Nazri bin Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Fadzilla bin Haji Salleh; dan YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, YBhg. Muhammad Saifuddin bin Hashim Musaimi.

YB Dato' Indera Nazri bin Abu Bakar telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, berkuatkuasa mulai 8 April 2025. YB Dato' Haji Fadzilla bin Haji Salleh telah dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri Pahang, berkuatkuasa mulai 8 April 2025. Manakala, YBhg. Muhammad Saifuddin bin Hashim Musaimi telah dilantik sebagai YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, berkuatkuasa mulai pada 17 April 2025.

Penyandang jawatan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Pahang seperti YAB Menteri Besar Pahang, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YB Pegawai Kewangan Negeri, Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri, di samping 4 orang Penghulu (iaitu 2 dari hulu dan 2 dari hilir) adalah termaktub untuk dilantik sebagai Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang.

 

(Kredit foto: Majlis Kesultanan Pahang)

Isnin, 16 Jun 2025

AL-SULTAN ABDULLAH MEMPENGERUSIKAN MESYUARAT JUMAAH PANGKUAN DIRAJA NEGERI PAHANG KE-119

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali ke-119. Mesyuarat ini telah berlangsung di Hotel Grand Darulmakmur, Kuantan pada pagi Isnin 16 Jun 2025.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi oleh Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; serta Paduka-Paduka Kekanda dan Paduka Adinda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa, Tengku Tan Sri Dato' Sri Setia Hajjah Meriam binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah; Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja, Puan Sri Dato' Sri Setia Hajjah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah; dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Bongsu, Tengku Dato' Sri Setia Hajjah Shahariah binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar, Tengku Tan Sri Dato' Sri Azlan ibni Almarhum Sultan Abu Bakar; Yang Amat Mulia Tengku Seri Nila Utama, Tengku Dato' Sri Nong Soraya binti Almarhum Sultan Abu Bakar; dan Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah, serta Ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang lain.

Pada mesyuarat berkenaan, Al-Sultan Abdullah bertitah menekankan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian dan antaranya ialah memperkasakan Jumaah Pangkuan Diraja, agar tidak hanya bersifat simbolik atau 'ceremony' semata-mata.

Paduka Baginda juga bertitah sedang meneliti keputusan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Jumaah Pangkuan Diraja, sebagai platform untuk memantapkan fungsi dan sumbangan Ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja terhadap rakyat dan negeri. Antara bidang tugas dan tanggungjawab yang boleh dipertimbangkan termasuklah berperanan sebagai badan penasihat bebas yang menyuarakan pandangan rakyat kepada pentadbiran negeri, menyokong agenda pemuliharaan alam sekitar khususnya dalam isu kritikal serta memperkukuh jaringan sosial melalui inisiatif kebajikan dan sokongan kepada golongan kurang bernasib baik.

Titah Paduka Baginda lagi, tidak mahu melihat Ahli-ahli Jumaah Pangkuan hanya sekadar mengisi tempat duduk di dalam Balairong Seri dan dewan-dewan rasmi, tetapi sebaliknya Ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja perlu menjadi pendukung dan benteng utama Negeri Pahang, yang menasihati dengan kebijaksanaan, memimpin dengan contoh dan berkhidmat dengan keikhlasan serta berintegriti. Paduka Baginda juga bertitah bahawa peranan ini bukan sahaja akan memperkukuh institusi diraja, tetapi juga memberi keyakinan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai tempat bergantung dan suara yang didengari di dalam pentadbiran negeri.



Jumaat, 6 Jun 2025

LUAK PASIR BESAR

Luak Pasir Besar merupakan sebuah Luak Kecil di Negeri Sembilan. Ia terletak dalam daerah Tampin. Luak Pasir Besar merangkumi kawasan seperti Gemas, Gemencheh dan Ayer Kuning. Ia berada di bawah naungan adat Luak Johol, bersama-sama dengan dua Luak Kecil yang lain, iaitu Luak Gemencheh dan Luak Ayer Kuning.
 
Mengikut Teromba yang didapati, penduduk Pasir Besar mendakwa Wilayah Pasir Besar adalah penempatan yang terawal di dalam Luak Johol. Pada zaman tersebut, sungai yang kini dinamakan Sungai Muar adalah sebatang sungai yang besar dan merupakan laluan utama.
 
Semasa didatangi peneroka yang terdiri daripada Orang Asli, terdapat kawasan berpasir yang luas di kawasan kedua-dua tebing sungai berkenaan. Di sinilah mula terbitnya nama Pasir Besar, yang bermaksud kawasan berpasir yang luas.
 

Pada zaman dahulu, Pasir Besar adalah terkenal sebagai tempat persinggahan dan kawasan selamat untuk dilalui oleh mereka yang berulang alik dari Johor (Muar) ke Luak Johol, atau ke Hulu Pahang. Sebagai laluan utama, Pasir Besar menjadi tempat persinggahan perahu-perahu dagang dan juga peneroka-peneroka dari Sumatera yang datang membuka penempatan di kawasan pedalaman mengikuti Sungai Muar. Di sinilah bermulanya pengaruh Islam dan Adat Perpatih yang dibawa oleh pedagang dan peneroka berkenaan.
 
Walaubagaimanapun, pengaruh Adat Perpatih tidak begitu mendalam terhadap budaya penduduknya. Oleh itu, tiada pembentukan suku-suku seperti yang terdapat di tempat-tempat lain. Begitu juga dengan amalan Adat Perpatih dalam kehidupan sehingga kini. Setelah kedatangan pengaruh Minangkabau, wujud gelaran bagi Batin iaitu Batin Melingkar Alam.
 

Pada 18 Oktober 1987, dengan perkenan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan YTM Dato’ Undang Luak Johol, telah dibentuk sebuah Luak yang termasuk di dalam lingkungan Undang Luak Johol, yang dinamakan Luak Kecil Pasir Besar. Luak ini diketuai oleh seorang Penghulu Pesaka, bergelar Dato’ Pasir Besar Akhirul Zaman, Penghulu Pesaka Luak Kecil Pasir Besar, yang dibantu oleh Datuk Muda Penghulu Pesaka, sebagai bakal Dato’ Pasir Besar Akhirul Zaman.
 

Oleh kerana waris penduduk asal Pasir Besar yang layak menyandang pesaka Penghulu Luak itu dianggap tidak mempunyai suku tertentu, maka sejak tertubuhnya Luak Pasir Besar ini, waris penduduk asal itu telah dikurniakan gelaran ‘Suku Raja Berketurunan Kurnia Raja’.
 
Pentadbiran Adat di Luak Pasir Besar ini tidak sepenuhnya mengikut Adat Perpatih. Mereka tidak mempunyai tanah pusaka adat dan anak buahnya tidak ada halangan untuk berkahwin sama sewaris.
 

Penyandang gelaran Penghulu Pesaka Luak Pasir Besar kini ialah Yang Mulia Dato’ Pasir Besar Akhirul Zaman Norhamzaz bin Haji Buyong, dan dibantu oleh Yang Mulia Dato’ Muda Mohd Hanapi bin Mahadi.