"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Jumaat, 6 Jun 2025

LUAK PASIR BESAR

Luak Pasir Besar merupakan sebuah Luak Kecil di Negeri Sembilan. Ia terletak dalam daerah Tampin. Luak Pasir Besar merangkumi kawasan seperti Gemas, Gemencheh dan Ayer Kuning. Ia berada di bawah naungan adat Luak Johol, bersama-sama dengan dua Luak Kecil yang lain, iaitu Luak Gemencheh dan Luak Ayer Kuning.
 
Mengikut Teromba yang didapati, penduduk Pasir Besar mendakwa Wilayah Pasir Besar adalah penempatan yang terawal di dalam Luak Johol. Pada zaman tersebut, sungai yang kini dinamakan Sungai Muar adalah sebatang sungai yang besar dan merupakan laluan utama.
 
Semasa didatangi peneroka yang terdiri daripada Orang Asli, terdapat kawasan berpasir yang luas di kawasan kedua-dua tebing sungai berkenaan. Di sinilah mula terbitnya nama Pasir Besar, yang bermaksud kawasan berpasir yang luas.
 

Pada zaman dahulu, Pasir Besar adalah terkenal sebagai tempat persinggahan dan kawasan selamat untuk dilalui oleh mereka yang berulang alik dari Johor (Muar) ke Luak Johol, atau ke Hulu Pahang. Sebagai laluan utama, Pasir Besar menjadi tempat persinggahan perahu-perahu dagang dan juga peneroka-peneroka dari Sumatera yang datang membuka penempatan di kawasan pedalaman mengikuti Sungai Muar. Di sinilah bermulanya pengaruh Islam dan Adat Perpatih yang dibawa oleh pedagang dan peneroka berkenaan.
 
Walaubagaimanapun, pengaruh Adat Perpatih tidak begitu mendalam terhadap budaya penduduknya. Oleh itu, tiada pembentukan suku-suku seperti yang terdapat di tempat-tempat lain. Begitu juga dengan amalan Adat Perpatih dalam kehidupan sehingga kini. Setelah kedatangan pengaruh Minangkabau, wujud gelaran bagi Batin iaitu Batin Melingkar Alam.
 

Pada 18 Oktober 1987, dengan perkenan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan YTM Dato’ Undang Luak Johol, telah dibentuk sebuah Luak yang termasuk di dalam lingkungan Undang Luak Johol, yang dinamakan Luak Kecil Pasir Besar. Luak ini diketuai oleh seorang Penghulu Pesaka, bergelar Dato’ Pasir Besar Akhirul Zaman, Penghulu Pesaka Luak Kecil Pasir Besar, yang dibantu oleh Datuk Muda Penghulu Pesaka, sebagai bakal Dato’ Pasir Besar Akhirul Zaman.
 

Oleh kerana waris penduduk asal Pasir Besar yang layak menyandang pesaka Penghulu Luak itu dianggap tidak mempunyai suku tertentu, maka sejak tertubuhnya Luak Pasir Besar ini, waris penduduk asal itu telah dikurniakan gelaran ‘Suku Raja Berketurunan Kurnia Raja’.
 
Pentadbiran Adat di Luak Pasir Besar ini tidak sepenuhnya mengikut Adat Perpatih. Mereka tidak mempunyai tanah pusaka adat dan anak buahnya tidak ada halangan untuk berkahwin sama sewaris.
 

Penyandang gelaran Penghulu Pesaka Luak Pasir Besar kini ialah Yang Mulia Dato’ Pasir Besar Akhirul Zaman Norhamzaz bin Haji Buyong, dan dibantu oleh Yang Mulia Dato’ Muda Mohd Hanapi bin Mahadi.

Isnin, 19 Mei 2025

MAJLIS NEGERI 1934

Setelah kemasukan British di Pahang, badan pentadbiran yang paling penting di dalam negeri Pahang pada ketika itu ialah Majlis Negeri.

 
Keanggotaan Majlis Negeri ini dianggotai oleh DYMM Sultan Pahang sebagai Pengerusi, dan Residen British sebagai Ahli. Ahli-ahli lain terdiri daripada Kerabat-Kerabat Diraja dan Pembesar-pembesar Melayu terkanan. Selain itu, turut dianggotai oleh satu orang pegawai Melayu dan dua orang pegawai Inggeris, sebagai Ahli Tidak Rasmi.
 
Ahli-Ahli Majlis Negeri Pahang, pada tahun 1934:

1. Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah, K.C.M.G. (Pengerusi)

2. Residen British

3. Penasihat Undang-Undang, Negeri-negeri Melayu Bersekutu

4. Tengku Besar, Tengku Sulaiman ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah, C.M.G.

5. Tengku Arif Bendahara, Tengku Mahmud ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah

6. Tengku Arif Temenggong, Tengku Abdul Aziz ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah

7. Tengku Umar ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah

8. Orang Kaya Indera Pahlawan, Che’ Wan Haji Abdullah bin Engku Temenggong Mahmud

9. Orang Kaya Indera Segara, Che’ Engku Abdul Jamal bin Engku Muda Mansor

10. Orang Kaya Indera Shahbandar, (Dato’) Hussein bin Muhammad Taib

11. Ketua Khadi Pahang, Haji Muhammad Daud bin Haji Zainal Abidin

12. Tengku Muhammad ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’azzam Shah, M.B.E.

 
Ahli Tidak Rasmi

1. Syed Abdul Rahman bin Syed Hashim Al-Habshi, J.P.

2. Mr. V.B.B. Baker

3. Mr. R.G. Young

Sabtu, 2 November 2024

JATA KESULTANAN DELI DARUL MAIMUN

Kesultanan Deli atau nama rasmi penuhnya Kesultanan Deli Darul Maimun ialah sebuah Kesultanan Melayu di Indonesia. Ia yang 'didirikan' pada tahun 1669 oleh Tuanku Panglima Perunggit, di suatu wilayah yang bernama Tanah Deli (kini Medan, Indonesia).

Simbol Kesultanan Deli terdiri dari beberapa alat-alat kebesaran (Regalia), tumbuhan, bintang, fauna dan disertai dengan warna-warna yang mempunyai makna tersendiri di dalamnya. Simbol tersebut tentunya sangat erat dengan kehidupan Budaya Melayu Deli. Simbol atau jata Kesultanan Deli ini dihasil dan diciptakan semasa zaman pemerintahan Sultan Ma’mun Al-Rasyid Perkasa Alamsyah, Sultan Deli ke-9 (1873 - 1924).

Simbol / Jata Kerajaan Deli dan maknanya :
• Mahkota dengan bintang di puncak - Merupakan simbol pimpinan karana Allah SWT.
• Payung bertingkat tiga - Payung kebesaran menggambarkan perlindungan yang bertingkat yaitu Raja, Orang Besar, dan Rakyat.
• Bendera / pataka, kain kuning dengan dua bintang emas, sudut atas diikat pada sebatang tombak agama - Tanda Kesultanan yang mendapat ilham, terjaga, dan bijaksana.
• Tombak berambu - Kawal utama luar (regalia).
• Pedang - Kawal kedua (regalia).
• Keris - kawal ketiga dan terakhir (regalia).
• Susunan kapas - Bermakna kemakmuran.
• Susunan daun tembakau - Kejayaan Tembakau Deli ke seantero dunia.
• Perisai dengan gambar Petarakna, Tongkat dan Tepak - Pimpinan hukum Adat dan rakyat yang terjaga.
• Bintang besar di bawah perisai - Bermaksud sinar petunjuk.
• Lima sayap ekor di bahagian bawah – Rukun Islam yang lima menjadi landasan.
• Simetri - Keadilan dan tidak berat sebelah.
• Warna-warna - Setiap warna yang ada memiliki beberapa makna. Seperti kuning bermakna tuah dan mulia; putih bermakna bersih; hijau bermakna daya hidup.

Selain simbol / jata, Kesultanan Deli juga memiliki bendera sendiri yang berwarna kuning dengan dua bunga di sisi bahagian kirinya yang tersusun di atas dan bawahnya.

Jumaat, 1 November 2024

TIPS PENAMPILAN DIRI : SONGKOK

1. Pilih warna hitam (bukan warna warni) dan baldu (sebaiknya tanpa lilitan).
2. Pakai ikut saiz kepala (tidak terlalu besar atau terlalu kecil).
3. Pastikan songkok tidak terkena air yang banyak (hujan).
4. Sentiasa guna berus songkok dan spray sedikit air untuk bersihkan songkok.
5. Pakai songkok betul-betul dari arah hadapan (bukan tepi). Memadai sekadar letak atas kepala tanpa menekannya.
6. Jangan pakai stail pelik-pelik, seperti senget atau fesyen mendongak macam zaman kanak-kanak dulu.
7. Jarak saiz 2 jari antara hujung songkok dan bulu kening.
8. Elakkan pakai songkok yang terlalu tinggi (songkok KLCC) atau terlalu rendah.
9. Sentiasa simpan dalam bekas / kotak songkok.
10. Wajib dipakai dalam majlis / istiadat yang melibatkan keberangkatan Raja-Raja Melayu.
11. Letak lilit putih pada songkok (bagi yang beragama islam) sekiranya menghadiri istiadat pemakaman Raja-Raja Melayu di Makam Diraja.

(Kredit : Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Istana Negara)

Isnin, 18 Mac 2024

GELARAN TERKINI SULTAN PAHANG, TENGKU AMPUAN PAHANG & TENGKU MAHKOTA PAHANG

KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA SULTAN PAHANG
AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH
DKP., DKM., DK., DMN., SSAP., SIMP., DK (TERENGGANU)., DK (JOHOR)., SPMJ., DKMB (BRUNEI)., DK (KEDAH)., DK., (PERLIS)., DK (PERAK).,DK., (SELANGOR)., DK., (KELANTAN)., ORDER OF THE STATE OF THE REPUBLIC OF TURKIYE GRAND CROSS OF THE ORDER OF SAINT-CHARLES (MONACO).

KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA TENGKU AMPUAN PAHANG
TUNKU AZIZAH AMINAH MAIMUNAH ISKANDARIAH BINTI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR AL-HAJ
DK., DMN., SSAP., SIMP., DK (JOHOR)., SPMJ., DK (BRUNEI)., DK (SELANGOR).

KEBAWAH DULI PADUKA MULIA TENGKU MAHKOTA PAHANG
TENGKU HASSANAL IBRAHIM ALAM SHAH IBNI AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
DK., SSAP., SIMP.

Berkuatkuasa pada Khamis, 14 Mac 2024 bersamaan 3 Ramadan 1445

Sabtu, 25 November 2023

PENYANDANG TERKINI PESAKA ADAT DATO’ PENGHULU LUAK TANAH MENGANDUNG

Luak Tanah Mengandung ialah Kumpulan Lima Luak yang melingkungi Wilayah Diraja Negeri Sembilan, iaitu Seri Menanti. Luak-luak ini bernaung di bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Luak Tanah Mengandung merupakan serambi bagi Luak Berundang, di mana ia menjadi tempat persinggahan YTM Dato' Undang sebelum ke Seri Menanti untuk mengadap DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Luak Tanah Mengandung terdiri daripada Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Terachi, Luak Gunung Pasir dan Luak Inas Ineh. Pemimpin bagi luak-luak ini bergelar Penghulu.
 
Pada masa kini, penyandang Pesaka Adat bagi Dato'-Dato’ Penghulu Luak Tanah Mengandung ialah:

Yang Mulia Dato’ Bendahara Setia Maharaja Lela Pahlawan
Dato’ Haji Mansor bin Haji Yusof
Penghulu Luak Ulu Muar

 

Yang Mulia Dato’ Lela Putra Setiawan
Mazri bin Mansol
Penghulu Luak Jempol

 

Yang Mulia Dato’ Anjah Pahlawan
Dato’ Haji Mohamad Nasir bin Haji Nordin
Penghulu Luak Terachi

 

Dato’ Hanizam bin Haji Harun
Penghulu Luak Gunung Pasir

 

Dato’ Mohammad Ariff bin Sidek
Penghulu Luak Inas Ineh

Khamis, 23 November 2023

PADUKA KEKANDA DAN ADINDA AL-SULTAN ABDULLAH DIKURNIAKAN DARJAH KEBESARAN NEGERI PAHANG

Pada 23 November 2023, telah berlangsungnya Istiadat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang. Istiadat ini telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Istiadat ini berlangsung di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara, Kuala Lumpur. Turut berangkat ke istiadat ini ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail, dan Kerabat-kerabat Diraja.

Pada istiadat pengurniaan tersebut, KDYMM Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk mengurniakan Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) kepada YAM Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Yang Berbahagia Cik Puan Nur Bahiyah Mohamad Akip. Darjah Sri Indera Mahkota Pahang merupakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia, Peringkat Pertama. Ianya membawa gelaran Dato’ Indera.

Penerima lain Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) ialah YAM Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah. Di dalam istiadat ini juga, YAM Tengku Arif Temenggong turut dikurniakan dengan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).

Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) merupakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia, Peringkat Pertama. Ia membawa gelaran Dato’ Sri.

KDYMM Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) kepada Paduka-Paduka Kekanda Baginda, YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa, Tengku Tan Sri Meriam binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan YAM Tengku Puteri Seri Teja, Tengku Puan Sri Hajjah Muhaini binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. Turut dikurniakan SSAP ialah Paduka-Paduka Adinda Baginda, YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja, Tengku Hajjah Nong Fatimah binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah; dan Tengku Puteri Seri Bongsu, Tengku Hajjah Shahariah binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Di dalam istiadat yang sama, KDYMM Seri Paduka Baginda turut berkenan untuk mengurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) kepada Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dan Juruiring Polis Seri Paduka Baginda, SAC Datuk Mohd Azani Omar. KDYMM Seri Paduka Baginda juga turut berkenan untuk mengurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) kepada Penasihat Undang-Undang Istana Negara, Datuk Abdul Rahman Putra Dato' Haji Taha.

Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) merupakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia, Peringkat Kedua. Ia membawa gelaran Dato’. Manakala, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) merupakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia, Peringkat Kedua. Ianya juga membawa gelaran Dato’.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di dalam Titah Diraja, bertitah menzahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih di atas sokongan yang diberikan keluarga Baginda, sepanjang lima tahun menjawat jawatan tertinggi negara. KDYMM Seri Paduka Baginda turut menyuarakan rasa terharu Baginda di atas sokongan dan dorongan, serta kasih sayang yang diberikan keluarga Baginda sejak menaiki takhta sebagai Sultan Pahang ke-6, sebelum dilantik menjadi Yang Dipertuan Agong ke-16.