"SESIAPA YANG TIDAK BELAJAR DARIPADA SEJARAH, AKAN TERHUKUM MENGULANGI KESILAPAN SILAM"

Selasa, 15 Februari 2011

SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH IBNI ALMARHUM SULTAN ABU BAKAR RI'AYATUDDIN AL-MU'ADZAM SHAH


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah adalah Sultan Pahang yang kelima. Baginda telah diputerakan di Istana Mangga Tunggal, Pekan pada hari Jumaat, 24 Oktober 1930.  Bondanya ialah Tengku Ampuan Fatimah, puteri kepada Paduka Seri Sultan Iskandar Shah Perak. Pada masa itu, ayahandanya Sultan Abu Bakar baru menjunjung kurnia gelaran Tengku Mahkota Pahang, bakal Sultan Pahang. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan dan kemudian di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Walau bagaimanapun, pembelajaran baginda terganggu ekoran Perang Dunia II. Sultan Haji Ahmad Shah turut mempelajari bahasa Jepun ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.

Pada 1944, ketika berusia 14 tahun, Sultan Haji Ahmad Shah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang. Apabila peperangan tamat, baginda meneruskan pembelajaran baginda di Sekolah Clifford Kuala Lipis dan tinggal bersama orang kebanyakan di asrama sekolah. Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu.

Pada 1948, Sultan Haji Ahmad Shah meneruskan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Awam di Worcester College, Oxford. Baginda turut masuk ke University College, Exeter, Devon bagi kursus Pentadbiran Tempatan. Ketika menduduki kursus tersebut, baginda menjalani latihan di Majlis Daerah Perbandaran di Sidmouth untuk tiga tahun.

Ketika berusia 35 tahun, Sultan Haji Ahmad Shah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Batalion Infantri Tentera Persekutuan yang berpengkalan di Kem Batu 5, Mentakab. Perkhidmatan baginda terhadap ketenteraan dan rakyat jelata membuatkan baginda dikagumi rakyat yang menyifatkan baginda putera rakyat yang amat prihatin. Tengku Mahkota juga gemarkan aktiviti luar terutamanya sukan dan amat mahir dalam bidang tersebut. Baginda terkenal sebagai pemain polo yang hebat di dalam dan di luar negara.

Pada 1982, Sultan Haji Ahmad Shah telah dianugerahkan Anugerah Bola Sepak Olimpik Antarabangsa. Baginda satu-satunya orang Malaysia yang dianugerahkan anugerah berprestij itu. Bola sepak, permainan bertaraf antarabangsa telah diberikan nafas baru apabila Sultan Haji Ahmad Shah dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolda Sepak Malaysia. Bawah pimpinan baginda, Malaysia berjaya memperoleh Piala Merdeka selepas 9 tahun dengan melahkan Korea Selatan 3-1 dalam masa tambahan pada 17 Februari 1993. Sultan Haji Ahmad Shah, peminat sukan nombor satu negara, telah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia sejak tahun 1984 dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia. Sultan Haji Ahmad Shah juga menggemari polo, hoki, badminton dan golf. Sultan Haji Ahmad Shah turut menyertai Sukan Olimpik di Los Angeles, Seoul, Barcelona dan Atlanta.

Sultan Haji Ahmad Shah telah dilantik sebagai Sultan Pahang yang ke-5 pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan ayahanda baginda DYMM Sultan Abu Bakar dan ditabalkan pada 6 Mei 1975. Sultan Haji Ahmad Shah telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-7, memerintah negara dari 26 April 1979 sehingga 25 April 1984.

Sultan Haji Ahmad Shah mengahwini Tengku Hajah Afzan binti Tengku Muhammad pada 22 April 1954. Pasangan diraja itu dikurniakan tujuh orang anak, dua orang putera dan lima orang puteri. Selepas kemangkatan Tengku Ampuan Hajah Afzan pada 29 Jun 1988, Sultan Haji Ahmad Shah mengahwini Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991 dan dikurniakan seorang putera.

Ahad, 13 Februari 2011

SULTAN SIR ABU BAKAR RI'AYATUDDIN AL-MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN ABDULLAH AL-MU'TASSIM BILLAH



Sultan Sir Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mu'tassim Billah adalah Sultan Pahang ke-4. Baginda telah diputerakan pada 29 Mei 1904 bersamaan 14 Rabi'ul Awal tahun 1322 Hijrah. Baginda merupakan putera kepada Al-Marhum Sultan Abdullah dengan Che Kalsum bt Abdullah.

Baginda telah diasuh, dipelihara dan dijaga dengan penuh kasih sayang oleh Hajjah Aishah sehingga dewasa. Baginda telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan. Selepas itu, Baginda menyambung pendidikannya di dalam aliran Inggeris di Maktab Melayu Kuala Kangsar atau dikenali sebagai MCKK di Negeri Perak.

Baginda sentiasa menjelajah ke seluruh pelusuk negeri, daerah, kampung- kampung untuk bersama-sama dengan rakyat jelata. Baginda juga turut menyokong proses untuk mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu pada ketika itu. Ketika pemerintahan Baginda jugalah telah lahir ramai pendekar-pendekar yang handal di negeri Pahang.

Semasa remajanya, Baginda mempunyai kegemaran dan minat dalam seni budaya seperti Gamelan, Zapin, Inang, Canggong, Cinta Sayang hinggalah tarian-tarian moden yang lain. Pada tahun 1972, Baginda telah membawa balik Gamelan ke Negeri Pahang yang telah dibeli dari Tengku Mariam, ibu saudara Baginda dari Terengganu. Selain itu, Baginda juga begitu aktif dalam lapangan sukan seperti permainan Polo, Tenis, Lumba Kuda, Lumba Perahu, dan sebagainya. Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Ampuan Pahang, Raja Fatimah, puteri kepada Sultan Iskandar Shah ibni Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah, di Kuala Kangsar, Perak. Perkahwinan baginda merupakan perkahwinan di antara dua kerabat diraja yang mempunyai pertalian persaudaraan iaitu saudara sepupu melalui bonda Tengku Ampuan Fatimah yang bernama Tengku Nong binti Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah.

Pada 4 Jun 1930, Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah berkenan melantik Tengku Abu Bakar Ibni Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah sebagai Tengku Mahkota Pahang. Baginda merupakan putera raja yang pertama yang dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dalam sejarah Kesultanan Pahang.

Berikutan kemangkatan ayahanda baginda, baginda menaiki takhta Kerajaan negeri Pahang pada 24 Jun 1932. Baginda kemudiaannya ditabalkan sebagai Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah pada hari Ahad, 28 Mei 1933 di Istana Pantai, Pekan. Pada waktu itu, usia baginda baru mencecah 28 tahun dan baginda merupakan Sultan Pemerintah yang paling muda di kalangan Raja-Raja Tanah Melayu pada ketika itu.

Di zaman pemerintahan Baginda, bermulalah mercu tanda pembangunan Negeri Pahang moden, di mana perubahan dari segi politik dan sosial berlaku dengan cukup pesat walaupun dengan kemaraan Tentera Jepun di Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua.

Semasa penjajahan Jepun dalam tahun 1941 hingga tahun 1945, Al-Marhum telah bersetuju dengan secara sulit supaya orang-orang Melayu dalam negeri ini menubuhkan Pasukan Tentera Wataniah yang dikenali dengan nama 'Force 136' yang ketika itu diketuai oleh Yoep Mahidin, Tun Haji Abdul Razak Hussain, Tan Sri Ghazalie Shafie dan Abdul Rahman Ismail. Peranan yang dimainkan oleh baginda dalam menghadapi jajahan Tentera Jepun di Pahang telah membuktikan kewibawaan baginda sebagai Raja yang berdaulat.

Peristiwa di mana Baginda ditahan selama 27 hari di Ladang Getah Ng Tiong Kiat, Sungai Jerik menjadi natijah kecekapan, kecekalan, kesabaran dan kewibawaan Baginda dalam mengatasi saat-saat yang sangat kritikal. Kejadian tersebut telah menggemparkan masyarakat Pahang pada ketika itu.

Kepesatan pertumbuhan ekonomi seperti perlombongan bijih timah, emas dan perladangan getah berlaku pada zaman pemerintahan baginda sejurus selepas kemerdekaan Tanah Melayu. Semasa pemerintahan baginda juga, ibu negeri Pahang yang pada ketika itu Kuala Lipis, telah dipindahkan ke Kuantan. Sebagai seorang Raja Pemerintah yang sangat prihatin atas segala hal ehwal berkaitan perkembangan agama Islam di Negeri Pahang, baginda telah mengambil beberapa langkah untuk kemajuan dan kebangkitan agama. Diantaranya, pada Mac 1950 menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang, menghidupkan kembali jawatan Mufti kerajaan kepada jawatan Kadi Besar serta mewujudkan sebuah Sekolah Arab Tinggi dengan nama Kuliah Al-Lughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar Pahang dalam tahun 1941.

Baginda merupakan seorang Raja pencetus kemodenan atau pembawa arus perubahan di dalam sejarah Negeri Pahang moden. Banyak adat-adat yang tidak bersesuaian pada masa itu ditinggalkan. Baginda mengikut dan bergerak menurut masa dari segi pemikiran, pemerintahan dan memimpin rakyat.

Baginda mangkat pada 5 Mei 1974 di Istana Peninjau, Pekan setelah memerintah negeri Pahang selama 42 tahun, dan digantikan oleh putera baginda, Tengku Ahmad Shah.

SULTAN ABDULLAH AL-MU'TASSIM BILLAH IBNI ALMARHUM SULTAN AHMAD AL-MU'ADZAM SHAH


Sultan Abdullah Al-Mu'tassim Billah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah adalah Sultan Pahang Ke-3. Baginda telah diputerakan pada malam Khamis, 12 Oktober 1874 bersamaan 25 Syawal 1296, di istana ayahandanya di Pekan Lama. Bondanya Cik Saoma bt Daing Minai Wak Koro yg berasal dari Luit Maran berketurunan Bugis Baginda merupakan putera yang kelima Sultan Ahmad Muazzam Shah ibni Almarhum Bendahara Sri Maharaja Tun Ali.

Baginda telah dilantik menaiki takhta kerajaan Negeri Pahang setelah kemangkatan kekanda baginda iaitu Sultan Mahmud Shah. Baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah pada bulan Mei 1919, di Balairung Seri Istana Seri Terentang, Pekan dengan penuh istiadat.

Baginda juga amat meminati seni dan budaya di mana semasa pemerintahan Baginda, kegiatan seni dan budaya seperti joget dan gamelan sangat giat diadakan. Kegiatan sukan dan permainan tradisional Melayu juga sering diadakan seperti lumba perahu, menuba, memburu dan silat.

Sultan Abdullah telah mangkat di Istana Kuning pada hari Rabu, 22 Jun 1932 jam 8.25 malam. Almarhum dimakamkan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang. Sebelum Almarhum Baginda dimakamkan, Yang Dipertua Adat Istiadat Negeri Pahang telah mengisytiharkan perlantikan putera Baginda, Tengku Abu Bakar iaitu Tengku Mahkota Pahang dilantik sebagai Sultan. Sultan Abdullah Al-Mu'tassim Billah ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah mangkat dengan meninggalkan tiga orang isteri iaitu Che Endut, Che Kalsum bt Abdullah dan Che Wan Chantik bt Wan Mohd Amin dengan sepuluh orang putera dan tujuh orang puteri.